Eksport utama Singapura merosot lebih daripada jangkaan pada Julai, selepas mencatat kenaikan pada Jun.
Ini disebabkan berkurangnya aktiviti pesanan awal barangan oleh syarikat, yang bertujuan mengelak tarif lebih tinggi yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali gus membantu syarikat mengurangkan kos niaga.
Sebelum ini, Amerika menetapkan tarikh akhir 1 Ogos bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan banyak negara, sebelum kadar tarif baru dikenakan.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura turun 4.6 peratus pada Julai 2025 berbanding Julai 2024, selepas pertumbuhan yang disemak menjadi 12.9 peratus pada Jun, menurut data Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 18 Ogos.
Prestasi ekonomi tersebut lebih buruk berbanding kemerosotan 3.8 peratus yang diramalkan oleh beberapa pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.
Eksport utama ke Amerika, pasaran eksport terbesar Singapura, menjunam 42.7 peratus.
Jumlah eksport ke China susut 12.2 peratus, dan kiriman ke Indonesia pula merosot 32.2 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Ketua pakar ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, pada 12 Ogos memberi amaran mengenai risiko utama berkaitan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu akibat situasi tarif dan risiko tarif bagi sektor tertentu.
Aktiviti pesanan awal yang semakin berkurangan dan tarif timbal balik yang dikenakan sejak 7 Ogos boleh menjejas aktiviti ekonomi dan perdagangan sejagat, kata Cik Ling.
Beliau menambah bahawa prospek ekonomi masih tidak menentu kerana Singapura menghadapi tarif timbal balik sebanyak 10 peratus bagi eksport ke Amerika.
Persoalan lebih besar ialah sama ada Singapura akan diberikan pengecualian atau kadar tarif lebih rendah bagi produk semikonduktor dan farmaseutikal, tambah beliau.
“Kesan tarif 100 peratus ke atas semikonduktor adalah besar, namun mungkin ada pengecualian peringkat syarikat, yang diberikan kepada firma yang memindahkan semula operasi pengeluaran ke Amerika,” kata Cik Ling.
“Oleh itu, persoalannya ialah berapa banyak pengeluaran sebegini yang mungkin dipindahkan semula ke Amerika?
“Pada ketika ini, ia masih tidak pasti – seperti yang kita lihat dengan tarif timbal balik, kadar tarif semikonduktor akhirnya mungkin berubah, dan senarai syarikat yang diberi pengecualian juga mungkin berubah,” jelas beliau.
Pada Julai, kiriman produk elektronik naik pada kadar lebih perlahan, iaitu 2.8 peratus, berbanding kenaikan 8 peratus pada Jun.
Jumlah eksport komputer peribadi (PC) melonjak 80.4 peratus, manakala eksport papan litar bercetak kosong meningkat 25.8 peratus.
Jumlah eksport litar bersepadu, atau cip pula naik 8 peratus.
Ketiga-tiga segmen tersebut menyumbang paling banyak kepada kenaikan kiriman elektronik.
Penghantaran bukan elektronik merosot 6.6 peratus pada Julai, selepas sektor tersebut mencatat kenaikan 14.4 peratus pada Jun.
Eksport produk farmaseutikal susut 18.9 peratus, manakala kiriman makanan sedia dimakan berkurangan 26.3 peratus.
Kiriman petrokimia pula turun 23.4 peratus.
Jumlah eksport emas bukan kewangan atau ‘non-monetary gold’ melonjak 104 peratus, manakala eksport mesin khas meningkat 22.4 peratus.
Emas bukan kewangan bermakna emas yang tidak dipegang sebagai aset rizab oleh bank pusat dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg