Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Empat firma audit terbesar S’pura guna AI tingkat kecekapan

Tiada rancangan kurangkan pengambilan pekerja bahagian audit
Dec 9, 2024 | 5:04 PM
Empat firma perakaunan, dikenali sebagai ‘Big Four’ – KPMG, Deloitte, EY dan PwC – menyatakan mereka tiada rancangan untuk mengecilkan pasukan audit mereka di Singapura.
Empat firma perakaunan, dikenali sebagai ‘Big Four’ – KPMG, Deloitte, EY dan PwC – menyatakan mereka tiada rancangan untuk mengecilkan pasukan audit mereka di Singapura. - Foto AFP

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah industri di seluruh dunia, namun firma perkhidmatan profesional terbesar di Singapura tidak merancang untuk mengurangkan pengambilan pekerja di bahagian audit.

Pada November, The Wall Street Journal melaporkan KPMG telah memberhentikan ratusan pekerja di bahagian auditnya di Amerika Syarikat.

Walaupun kajian menunjukkan akauntan berisiko tinggi kehilangan pekerjaan akibat AI, KPMG menafikan bahawa pemberhentian tersebut berkaitan dengan penggunaan AI.

Pada awal 2024, syarikat PricewaterhouseCoopers (PwC) di Amerika turut mengumumkan rancangan memberhentikan 1,800 pekerja sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan perniagaan.

KPMG di Singapura pula berkata ia kekal fokus pada pertumbuhan.

“Kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja,” kata jurucakapnya kepada The Business Times.

Tiga firma perakaunan Big Four yang lain – Deloitte, EY dan PwC – turut mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengurangkan pasukan audit di peringkat tempatan.

Sebaliknya, tujuan mereka adalah untuk memanfaatkan teknologi digital – terutama alat AI generatif – untuk mengautomasikan tugas rutin dan membolehkan juruaudit memberi tumpuan kepada kerja yang lebih rumit.

Ketua audit di Deloitte Singapura, Encik Yang Chi Chih, berkata tujuannya bukan untuk menggantikan pekerja dengan teknologi, tetapi untuk meningkatkan kecekapan proses audit.

Penggunaan alat AI dalam kerja audit semakin meluas di kebanyakan firma.

Tugas audit biasa seperti penyelarasan, semakan dokumen dan analisis kini boleh dilakukan secara automatik, kata Encik Liew Nam Soon, rakan pengurusan serantau EY Asean dan rakan pengurusan negara untuk Singapura dan Brunei.

Beliau menambah bahawa kerja yang memakan masa, yang sebelum ini mengambil waktu berhari-hari untuk disiapkan, kini boleh diselesaikan oleh AI “dalam beberapa minit”.

Ini memberi lebih banyak masa kepada juruaudit untuk memberi tumpuan kepada analisis yang lebih kompleks dan membuat penilaian lebih tepat.

Algoritma AI juga “terutamanya berkesan” dalam mengenal pasti corak dalam set data yang besar, menandakan transaksi yang menyimpang daripada corak tersebut dan mengesan anomali seperti kesilapan atau penipuan.

Ketua jaminan di PwC Singapura, Encik Choo Eng Beng, berkata firma itu melihat peningkatan produktiviti melalui penggunaan AI dalam tugas seperti pengambilan dokumen dan ringkasan, mengautomasikan penyediaan dokumen dan menjalankan pertanyaan data pada set data yang besar.

Dengan alat AI yang semakin penting dalam audit, melengkapkan generasi akauntan seterusnya dengan kemahiran menggunakan teknologi itu dengan berkesan adalah satu keutamaan.

Sejak 2018, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) “secara aktif” menyesuaikan kurikulum perakaunannya untuk menyepadukan AI, kata Dekan di Sekolah Perakaunan SMU, Dr Cheng Qiang.

Ini termasuk menggunakan alat AI generatif seperti ChatGPT OpenAI sebagai “pembantu pembelajaran”, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg