Singapura dan Indonesia akan menjalankan satu kajian bersama dalam sektor teknologi di wilayah Batam, Bintan dan Karimun (BBK), bagi mengenal pasti peluang masa depan kawasan berkenaan.

Ini sambil kedua-dua negara itu meneruskan rancangan menjadikan wilayah tersebut sebagai sebuah “hab digital yang dinamik”.

Perkembangan tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Enam Kumpulan Kerja Ekonomi Dua Hala Singapura-Indonesia (6WG MM) yang ke-16, pada 9 Jun.

Ia dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto.

Mesyuarat tahunan itu merupakan wadah bagi kedua-dua negara jiran ini menyelaras kerjasama ekonomi dalam enam bidang utama, iaitu pelaburan, tenaga kerja, pengangkutan, pelancongan, perniagaan pertanian, serta pembangunan wilayah BBK dan zon ekonomi khas yang lain.

Dalam mesyuarat tersebut, Encik Gan dan Encik Airlangga menegaskan semula komitmen memperkukuh hubungan ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat yang semakin meningkat, dengan meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital, tenaga hijau, prasarana perindustrian dan teknologi pertanian.

“Singapura dan Indonesia berkongsi hubungan yang lama terjalin dan kukuh, yang dibina atas dasar kerjasama serta manfaat bersama,” kongsi Encik Gan dalam satu sidang media bersama.

Beliau menambah kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama dalam mempertingkat daya tahan rantaian bekalan serta meneroka cara-cara baharu untuk saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain.

Ini termasuk kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital, ekonomi hijau, prasarana perindustrian dan teknologi pertanian.

Encik Airlangga berkata kedua-dua negara telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pelbagai sektor dan kekal komited dalam menterjemahkan kerjasama tersebut kepada pelaburan serta projek yang nyata.

“Saya berbesar hati kerjasama ekonomi dua hala kita kukuh dan yang lebih penting, berada pada landasan yang betul,” ujarnya.

Encik Gan turut ditanya mengenai rancangan Indonesia untuk memusatkan semua eksport komoditi strategik di bawah satu entiti milik negara yang baharu.

Rancangan tersebut, yang diumumkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada 20 Mei, akan menyaksikan sebuah entiti negara baharu mengambil alih penjualan ke luar negara bagi arang batu, minyak sawit dan feroaloi (aloi besi), serta mungkin diperluaskan kepada sumber semula jadi strategik lain.

Setiap negara mempunyai kebimbangan dan keutamaan masing-masing, kata Encik Gan, sambil menambah Singapura akan bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan ia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik untuk Singapura dan para pelaburnya.

Pada 2025, Singapura kekal sebagai sumber utama pelaburan asing secara langsung (FDI) ke Indonesia, dengan sumbangan sebanyak AS$17.4 bilion ($22.4 bilion).

“Kami akan terus bekerjasama dengan para peniaga Singapura untuk mencari cara bekerjasama dengan Indonesia, bagi memastikan terdapat eksport ke Indonesia, dan akses kami terhadap eksport Indonesia akan terus mengalir dengan bebas,” ujarnya.