Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma semikonduktor AS buka kampus baru di S’pura
Firma semikonduktor AS buka kampus baru di S’pura
Langkah penuhi permintaan global melonjak akibat AI
Firma semikonduktor AS buka kampus baru di S’pura
Applied Materials, syarikat kejuruteraan dari Amerika Syarikat, mengumumkan peluasan operasi perkilangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Singapura melalui pembukaan kampus baharu, pada 10 Jun.
Pelaburan bernilai AS$500 juta ($643.9 juta) di Tampines itu bakal menggandakan kapasiti bilik bersih termaju syarikat tersebut di negara ini.
Kemudahan baharu itu dibangunkan khusus untuk menyokong pengeluar cip yang giat meningkatkan pengeluaran demi memenuhi permintaan global yang melonjak akibat teknologi kecerdasan buatan (AI).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Applied Materials, Encik Gary Dickerson, menegaskan dalam wawancara bersama The Business Times bahawa permintaan terhadap pengkomputeran dipacu AI sedang meningkat dengan amat ketara.
“Kami telah bertapak di Singapura selama 35 tahun untuk membina keupayaan perkilangan kami, dan sebahagian besar daripada pendapatan kami hari ini datang dari negara ini.
“Jadi, sebagai persediaan untuk menghadapi peningkatan permintaan ini, kami telah membuat pelaburan besar, dan saya percaya trend ini akan terus meningkat pada masa akan datang.”
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dalam majlis perasmian kampus di Tampines itu, menyifatkan pelaburan Applied Materials di Singapura sebagai satu pengesahan kukuh terhadap keyakinan syarikat itu menjadikan negara ini sebagai rakan kongsi dipercayai untuk mengembangkan perniagaan global dan membina keupayaan masa depan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan menjelaskan bahawa Singapura kini sedang beralih daripada sekadar hab yang terbuka, terhubung dan cekap kepada pangkalan yang boleh dipercayai, inovatif serta berdaya tahan.
Transformasi ini amat penting bagi menyokong syarikat-syarikat yang sedang berkembang pesat, terutamanya dalam sektor strategik seperti semikonduktor.
Applied Materials menyediakan peralatan perkilangan, perkhidmatan dan perisian yang digunakan oleh pengeluar cip untuk menghasilkan sebahagian besar cip semikonduktor dan paparan canggih di dunia.
Operasi syarikat itu di Singapura merupakan yang terbesar di luar Amerika dan terletak berdekatan dengan rantau yang menyumbang kepada sebahagian besar pendapatannya.
Bagi tempoh tiga bulan yang berakhir pada 26 April, Applied Materials melaporkan pendapatan sebanyak AS$7.91 bilion, melonjak 11 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Pendapatan syarikat ini sebahagian besarnya tertumpu di pasaran Taiwan, Korea Selatan, China dan Jepun.
Sejak mula bertapak di Singapura pada 1991, syarikat ini telah berkembang daripada perkhidmatan jualan kepada hab perkilangan, logistik dan rantaian bekalan mulai 2010.
Kini, Applied Materials menggajikan sekitar 4,000 kakitangan di seluruh Asia Tenggara.
Peluasan operasi di Singapura dijangka membuka 1,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh setahun.
Kerjasama strategik dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Teknologi Singapura (SIT) pula dirintis bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia mendepani era kecerdasan buatan (AI).
Sektor semikonduktor kini menjadi tonggak ekonomi yang menyumbang hampir 6 peratus kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura.
Singapura kekal sebagai nod penting dalam rantaian bekalan global dengan menghasilkan 20 peratus peralatan perkilangan semikonduktor dan 10 peratus bekalan cip dunia.
Gergasi pengeluar cip seperti TSMC dan Micron kini giat memperkukuh tapak perkilangan mereka di Asia.
Permintaan tinggi terhadap teknologi AI menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan berterusan syarikat-syarikat itu.
