Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Epson tawar jual kilang di Tuas pada $55j, mula henti operasi berperingkat

Hartanah tawar nilai dan ‘potensi pembangunan semula yang ketara’
Jan 10, 2025 | 4:40 PM
Ejen hartanah CBRE berkata bangunan di Tuas ini boleh memenuhi keperluan sektor yang mempunyai permintaan yang semakin meningkat, seperti pusat data.
Ejen hartanah CBRE berkata bangunan di Tuas ini boleh memenuhi keperluan sektor yang mempunyai permintaan yang semakin meningkat, seperti pusat data. - Foto GOOGLE MAPS

Epson menyasar untuk menjual kemudahannya di Tuas pada harga kira-kira $55 juta, sedang firma elektronik Jepun itu mula menghentikan operasi di kilangnya itu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata ejen pemasaran eksklusif CBRE pada 9 Januari.

Bangunan perusahaan dua tingkat di 1 Tuas Link 4 itu berdiri di atas sebidang tanah seluas 307,420 kaki persegi.

Ia mempunyai jumlah keluasan lantai kasar 302,458 kaki persegi, potensi kawasan binaan kira-kira 768,550 kaki persegi, dan tambahan 466,092 kaki persegi nisbah plot yang belum diterokai, kata syarikat hartanah itu, lapor The Business Times.

Dengan baki 31 tahun dalam pajakannya, hartanah itu menunjukkan nilai pasaran yang kukuh dan mempunyai “potensi pembangunan semula yang ketara”, kata CBRE.

“Tapak ini, yang berada di kedudukan strategik, memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor seperti pusat data. Ini sejajar dengan rancangan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk memperuntuk kapasiti kepada pengendali pusat data hijau,” katanya.

“Selain itu, ia sangat sesuai untuk kejuruteraan jitu dan sektor pertumbuhan tinggi lain yang ingin mewujudkan kehadiran di kawasan barat Singapura.”

Epson pada awal 2024 mengumumkan rancangan untuk menghentikan operasi di kilangnya di Tuas secara berperingkat dan memindahkan sebahagian daripada operasinya ke luar negara menjelang 2027.

Kira-kira 350 pekerja dijangka terjejas oleh langkah itu.

Di bawah Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), tapak ini dizonkan sebagai Perniagaan 2 – kategori guna tanah untuk kegiatan pembuatan dan pengeluaran berat. Ia mempunyai nisbah plot 2.5.

CBRE menambah bahawa ia menawarkan “kemudahan yang mencukupi untuk pelbagai keperluan perusahaan”, termasuk tujuh dok pemuatan, 66 lot kereta di permukaan dan sebuah kantin.

Tapak ini berhampiran ekspreswe utama seperti Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).

Lokasi ini juga jaraknya 10 minit berjalan kaki dari stesen MRT Tuas West Road di Laluan Timur-Barat.

Penjualan itu akan dijalankan melalui perjanjian privet dan dijangka diselesaikan pada Mac 2027, dengan pemilikan kosong.

Encik Graeme Bolin, ketua perkhidmatan penghuni dan pemajakan, perusahaan dan logistik di CBRE, menambah: “Pasaran hartanah perusahaan terus menunjukkan daya tahan dan permintaan yang kukuh, didorong oleh pengeluaran perkilangan yang teguh dan pertumbuhan eksport.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg