Pengendali pusat data Equinix sedang membina pusat data keenamnya di Singapura dengan pelaburan awal AS$260 juta ($348 juta), kata firma tersenarai Nasdaq itu pada 19 November.
Pusat data baru itu, sebuah kemudahan setinggi sembilan tingkat bernama SG6, dijangka dibuka pada suku pertama 2027 dan akan menyediakan kapasiti 20 megawatt (MW) apabila siap sepenuhnya, lapor The Business Times.
Equinix dianugerahkan kapasiti 20 MW di bawah tawaran perintis ‘Pusat Data – Panggilan untuk Permohonan’ (DC-CFA) yang bertujuan menyokong pertumbuhan pusat data mampan dan menganugerahkan sejumlah 80 MW kepada empat pengendali pusat data yang cadangan mereka paling sesuai dengan hasil holistik.
Empat pengendali itu ialah Equinix, GDS, Microsoft dan konsortium AirTrunk-ByteDance, menurut satu pengumuman Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Julai 2023.
SG6 akan menambah bilangan rangkaian global pusat data saling terkait Equinix yang menyediakan sambungan kependaman rendah dan lebar jalur tinggi bagi membolehkan aliran kerja menjadi cekap merentasi lokasi geografi berbeza.
Cik Aileen Chia, timbalan ketua eksekutif pembangunan dan kawal selia keterhubungan di IMDA, berkata: “Sedang kita mengekalkan momentum ekonomi digital Singapura, yang hari ini menyumbang hampir 18 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura, pusat data adalah prasarana digital asas yang menyokong usaha Negara Bijak 2.0 kita.”
Singapura berhasrat memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi, serta menjadi perintis global dalam melancarkan rangka kerja tadbir urus AI.
Selaras dengan matlamatnya menjadi peneraju teknologi serantau, negara ini telah membuat pelaburan besar dalam teknologi yang memerlukan kuasa pengkomputeran besar dan sumber pemprosesan data – seperti teknologi kuantum, rantaian blok (blockchain) dan pengkomputeran edge (pinggir rangkaian) – dan sedang meningkatkan kapasiti pusat datanya untuk memenuhi tuntutan itu.
Bagaimanapun, ini mesti diseimbangkan dengan matlamat iklimnya kerana pusat data adalah kemudahan intensif tenaga yang memerlukan sejumlah besar tenaga untuk penyejukannya.
Sebagai hab pusat data serantau, Singapura mempunyai salah satu kapasiti pusat data terpadat di dunia – yang ia merancang untuk meningkat sebanyak 300 MW dalam beberapa tahun akan datang, di samping tambahan 200 MW yang berpotensi diperuntukkan kepada pengendali yang menggunakan pilihan tenaga hijau.
Pusat data baru itu akan dilengkapi dengan ciri-ciri mampan seperti keupayaan penyejukan cecair.
Ini boleh menyejukkan aplikasi berkuasa tinggi dengan berkesan dengan memindahkan haba secara lebih cekap daripada sistem penyejukan udara dan boleh menyokong kerja yang memerlukan pengiraaan intensif, termasuk keperluan AI.
Cik Chia menambah bahawa SG6 ialah satu pelaburan yang “dialu-alukan” dan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Pusat Data Hijau IMDA – yang dilancarkan pada awal Mei untuk membimbing pertumbuhan mampan pusat data dan meningkatkan kecekapan tenaga mereka.
Pengarah Urusan Equinix di Singapura, Cik Yee May Leong, berkata: “Memandangkan beban kerja giat pengiraan terus berkembang, permintaan kapasiti juga akan meningkat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg