Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan melancarkan edisi kedua GenAI Sandbox atau kotak percubaan untuk syarikat kecil dan sederhana (SME) pada 2 Disember untuk terus membantu mereka mencuba, menginovasi dan menggunakan peralatan AI dalam bidang perniagaan baru.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 29 Oktober, IMDA berkata program yang dipanggil GenAI Sandbox 2.0 itu akan menyokong SME yang ingin mencari penyelesaian baru di bawah kategori seperti pemasaran dan jualan, perkhidmatan pelanggan dalam talian dan operasi sumber manusia.
“Membina daripada usaha sebelum ini, kami akan mendalami ekosistem AI di Singapura merentasi tiga tonggak utama iaitu dalam segi perusahaan, bakat dan tadbir urus.
“Untuk syarikat, kami akan melancarkan GenAI Sandbox 2.0, platform yang dipertingkatkan yang akan membolehkan perniagaan mencuba dan menyepadukan teknologi AI generatif dengan lebih berkesan,” kata IMDA.
Daya utama itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membolehkan SME tempatan mengukuhkan lagi keupayaan AI mereka dan menyediakan akses berterusan kepada alat GenAI baru dalam perjalanan pendigitalan mereka, kata IMDA
Ia juga akan menyediakan senarai penyelesaian berkuasa GenAI baru merentas tiga kategori penyelesaian berikut, seperti reka bentuk web generatif, pembantu maya atau virtual assistant untuk berkhidmat kepada pelanggan dan menggunakan GenAI untuk proses pemerolehan tenaga kerja.
“GenAI Sandbox 2.0 dijangka menyediakan kira-kira 15 penyelesaian GenAI merentas ketiga-tiga kategori penyelesaian ini dan memanfaatkan lebih 300 SME merentas semua sektor.
“Penyelesaian ini disusun bersama oleh panel pengguna industri dan pakar teknikal, dengan kerjasama SGTech, berdasarkan kesesuaian untuk SME,” tambah IMDA.
Setelah dilancar kelak, pemohon yang berjaya dan layak akan menerima sehingga 50 peratus sokongan geran daripada IMDA untuk mencuba salah satu penyelesaian GenAI pilihan mereka selama tiga bulan.
Syarikat yang berminat boleh mendaftarkan minat mereka di lelaman https://go.gov.sg/genai-sandbox-register-interest.
Program GenAI Sandbox pertama untuk SME telah dilancarkan pada Februari untuk membolehkan SME tempatan mengakses senarai penyelesaian pralulus dalam tempoh tiga bulan dengan tujuan membantu mereka melaksanakan penyelesaian GenAI.
Program tersebut tamat pada Mei dengan lebih 150 SME mengambil bahagian dan kira-kira 80 peratus daripada mereka terus menggunakan penyelesaian yang diraih daripada program itu selepas tempoh tiga bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg