Syarikat kedua dari Singapura, Splendent Technologies, dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Splendent Technologies, yang mempunyai ibu pejabat di Singapura dan cawangan di Hong Kong, merupakan pengedar borong komponen elektronik.
Dalam laporan pada Februari, EU menyenaraikan puluhan syarikat yang dikenakan sekatan kerana didakwa terlibat dengan tentera dan industri Russia.
Menurut laporan itu, syarikat tersebut mempunyai hubungan komersial atau menyokong sektor pertahanan dan keselamatan Moscow dengan menyumbang kepada peningkatan ketenteraan dan teknologi Russia, lapor The Straits Times (ST).
Splendent Technologies di laman sesawangnya menyatakan ia telah menghentikan semua perniagaan dengan Russia akibat sekatan oleh Rumah Putih terhadap Kremlin.
Sejak pencerobohan Ukraine pada Februari 2022, EU telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas Russia, termasuk sekatan ekonomi, individu, serta langkah visa dan diplomatik yang perlu dipatuhi oleh negara anggota EU.
EU turut bekerjasama dengan negara bukan EU untuk mengharamkan eksport barangan tertentu ke Russia, termasuk larangan transit barangan dari EU ke negara bukan EU melalui Russia.
Larangan itu merangkumi barangan seperti dron, enjin dan perisian dron, kamera termografi, peranti penyulitan, semikonduktor dan elektronik canggih.
Splendent Technologies dimasukkan ke dalam senarai sekatan pada 25 Februari.
Dalam laporan itu, EU mendakwa syarikat dan entiti lain dalam senarai tersebut menyokong peningkatan teknologi sektor pertahanan dan keselamatan Moscow dengan barangan dan teknologi kegunaan dua hala.
Splendent Technologies merupakan syarikat kedua yang berdaftar di Singapura yang dikenakan sekatan sejak perang di Ukraine.
Deflog Technologies, sebuah syarikat di Shaw Road yang menjual produk keselamatan dan optik, termasuk kaca mata penglihatan malam, telah dikenakan sekatan pada 2023.
Splendent Technologies di Singapura mempunyai tiga pengarah, termasuk dua warga China dan seorang warga Singapura yang mengurus firma penyedia perkhidmatan korporat (CSP).
Syarikat di Singapura perlu melantik seorang warga Singapura sebagai pengarah.
Syarikat tersebut berurusan dalam alat ganti untuk sektor automotif, penjagaan kesihatan, kawalan proses dan komputer.
Walaupun menyatakan beroperasi di Ang Mo Kio Techplace II, ST mendapati unit tersebut diduduki oleh ASTI, kumpulan teknologi yang memberi perkhidmatan kepada syarikat semikonduktor berdekatan.
ASTI menyenaraikan alamatnya sebagai unit 04-06 dan seorang pekerja berkata syarikat itu berada di dua unit sejak beliau mula bekerja empat tahun lalu, dan tidak mengenali Splendent Technologies.
Splendent Technologies berdaftar di King George’s Building, yang kini menempatkan CSP Singapore Millennium Bridge International.
Pengarah CSP, Encik Eugene Tan, berkata Splendent Technologies adalah kliennya, namun beliau tidak pernah bertemu dengan mana-mana pekerja mereka sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2021.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg