FairPrice akan melanjutkan skim diskaun untuk pemegang kad biru dan jingga Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas), Generasi Perintis serta Generasi Merdeka sehingga akhir 2025.
Skim itu akan ditawarkan di semua cawangan Fairprice dan farmasi Unity hingga 31 Disember 2025, kata FairPrice Group pada 19 Disember, lapor The Straits Times.
Warga emas generasi Perintis dan Merdeka, serta pemegang kad biru dan jingga Chas, boleh menikmati diskaun tiga peratus pada hari terpilih setiap minggu.
Warga Singapura dan penduduk tetap berusia 60 tahun dan ke atas akan mendapat diskaun dua peratus setiap Selasa.
Isi rumah dengan pendapatan bulanan setiap orang antara $1,501 hingga $2,300 layak memohon kad jingga Chas, manakala isi rumah dengan pendapatan bulanan setiap orang $1,500 dan ke bawah pula boleh memohon kad biru Chas.
Pelanggan perlu menunjukkan kad keahlian dalam bentuk digital mahupun fizikal di kaunter pembayaran atau membuat pilihan yang relevan di mesin pembayaran layan diri untuk mendapatkan diskaun.
Diskaun sehingga $200 dibolehkan bagi setiap transaksi dalam sehari.
Ketua Eksekutif FairPrice Group, Encik Vipul Chawla, berkata ramai rakyat Singapura masih menghadapi cabaran membeli barang keperluan harian walaupun kadar inflasi menurun.
“Kami mahu memainkan peranan dalam membantu rakyat Singapura yang kurang berkemampuan untuk membelanjakan wang mereka dengan lebih bijak dan melaksanakan misi kami untuk memastikan keperluan harian dimampui semua,” katanya.
Anggota NTUC Link dan anggota kesatuan juga boleh terus memperoleh mata apabila membeli-belah dalam talian atau cawangan FairPrice.
Pelanggan akan memperoleh 0.5 mata Linkpoints bagi setiap dolar yang dibelanjakan, dan 100 mata Linkpoints boleh ditebus dengan $1.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg