Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FED AS tolak kebimbangan kesan kemenangan Trump ke atas kadar faedah

Nov 8, 2024 | 3:26 PM
Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (FED), Encik Jerome Powell berucap semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan di Washington pada 7 November.
Pengerusi Lembaga Simpanan Federal (FED), Encik Jerome Powell berucap semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan di Washington pada 7 November. - Foto AFP

Lembaga Simpanan Federal (FED) Amerika Syarikat menolak kebimbangan mengenai kesan kemenangan pilihan raya yang memihak kepada Encik Donald Trump, ke atas kadar faedah dan memutuskan untuk memotong suku mata pada 7 November.

Pemotongan ini diharapkan dapat mengurangkan kos pinjaman berikutan inflasi yang menurun.

Bangunan FED terletak berdekatan dengan White House, di mana Presiden Demokrat, Encik Joe Biden akan menyerahkan kembali kunci kepada Encik Trump pada Januari depan berikutan kemenangan pilihan raya Republikan.

Namun penggubal dasar tidak mengendahkan drama politik yang sedang berlaku.

Mereka sebulat suara mengundi untuk mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada antara 4.5 dengan 4.75 peratus, menurut FED dalam satu kenyataan.

“Dalam tempoh terdekat, pilihan raya tidak akan memberi kesan ke atas keputusan dasar kami,” kata pengerusi FED, Encik Jerome Powell kepada wartawan, sambil menyatakan masih terdapat ketidakpastian mengenai agenda ekonomi sebenar Encik Trump. 

Encik Powell juga berkata beliau tidak akan meletak jawatan jika diminta keluar awal oleh Encik Trump, sambil menambah bahawa memecat mana-mana tujuh gabenor FED “tidak dibenarkan di bawah undang-undang”.

Semasa kempen plilihan raya, Encik Trump berulang kali menuduh Encik Powell, yang beliau sendiri lantik untuk mengendalikan bank pusat Amerika, bekerja untuk Demokrat.

Encik Trump membuat cadangan untuk menggantikan Encik Powell, apabila tempoh beliau sebagai pengerusi FED tamat.

Presiden yang dipilih itu juga berkata beliau ingin ‘sekurang-kurangnya’ mempunyai suara mengenai penetapan kadar faedah FED, sesuatu yang tidak dibenarkan pada masa ini, di bawah dua mandat bank iaitu untuk bertindak menangani kedua-dua inflasi dan pengangguran.

Keputusan kadar bank pusat Amerika sepatutnya membantu meringankan kos gadai janji dan pinjaman lain – berita yang dialu-alukan para pengguna.

Mereka telah menyebut secara meluas bahawa kos sara hidup merupakan kebimbangan utama menjelang pilihan raya pada 5 November.

Para pakar menyatakan lonjakan inflasi Amerika selepas pandemik merupakan faktor utama dalam kemenangan Encik Trump.

Penunjuk inflasi pilihan FED turun kepada 2.1 peratus pada September, sementara pertumbuhan ekonomi terus kukuh.

Pasaran tenaga kerja juga kekal kukuh secara keseluruhan, walaupun terdapat penurunan mendadak dalam pengambilan pekerja pada Oktober.

Sebahagian besar penurunan itu disebabkan oleh keadaan cuaca buruk dan mogok pekerja.

“Secara umum, ekonomi Amerika kelihatan cukup kukuh, dan pasaran tenaga kerja masih dalam keadaan baik,” kata Encik Jim Bullard, mantan presiden St Louis FED, kepada AFP menjelang pilihan raya Amerika.

Namun, penganalisis tetap berpecah mengenai apa yang akan dilakukan oleh FED pada Disember nanti.

Dengan kemenangan Encik Trump, banyak yang masih lagi bergantung kepada persoalan sama ada Republikan dapat memenangi Dewan Perwakilan Rakyat.

Republikan nampaknya berada di landasan yang baik mendapatkan kedua-dua Kongres dan Rumah Putih.

Pasaran bon bertindak balas dengan cepat terhadap kemenangan Encik Trump, dengan hasil bon Perbendaharaan Amerika 10 tahun melonjak.

Ini terjadi apabila peniaga meramalkan FED mungkin perlu mengekalkan kadar yang lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama bagi menyokong beberapa cadangan dasar Encik Trump. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg