Gergasi khidmat kiriman dan logistik FedEx menjalinkan kerjasama dengan syarikat pemula tempatan, QuikBot Technologies, untuk menggunakan robot penghantaran berautonomi di kawasan komersial di Singapura, dalam usaha menangani cabaran penghantaran di kawasan bandar.
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif FedEx untuk menambah baik penghantaran peringkat akhir di negara itu dengan menyepadukan automasi dalam proses penghantaran.
Langkah ini sekali gus menjimatkan masa dan memperkemas operasi khidmat kiriman kata syarikat itu pada 11 Julai.
Penggunaan robot juga membantu mengurangkan masa menunggu di lobi lif dan pusat pemeriksaan keselamatan, membolehkan pengirim bergerak pantas ke destinasi seterusnya dan memberi keutamaan kepada penghantaran yang perlu disegerakan, tambah FedEx.
Pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) QuikBot Technologies, Encik Alan Ng, mengulas mengenai cabaran penghantaran peringkat akhir – iaitu proses penghantaran kiriman terus kepada pelanggan:
“Logistik peringkat akhir adalah salah satu segmen paling mahal dan tidak cekap dalam rantaian bekalan, ia menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja, kadar pelepasan karbon yang meningkat dan permintaan penghantaran yang semakin tinggi.”
Pengarah urusan FedEx Singapura, Encik Eric Tan, menambah bahawa teknologi diperlukan untuk melancarkan proses penghantaran di kawasan bandar padat seperti Singapura.
Dengan meningkatkan kecekapan operasi, teknologi QuikBot menangani cabaran yang menjejas penghantaran di kawasan bandar padat, jelas Encik Ng.
Di bawah kerjasama ini, pengirim FedEx akan menghantar kiriman ke depoh penghantaran QuikBot yang terletak di beberapa kluster bangunan terpilih, lapor The Business Times (BT).
Di sana, staf QuikBot akan mengesahkan dan memuatkan bungkusan ke dalam QuikBox yang dikunci rapi.
Peranan robot akan bermula pada peringkat seterusnya.
Dibimbing oleh ejen kecerdasan buatan (AI), QuikBot mampu mengendalikan lif dan mengakses setiap tingkat bangunan, untuk melaksanakan penghantaran tanpa sentuhan dan tanpa bantuan manusia.
QuikCat, sebuah robot berautonomi jarak dekat yang direka untuk penghantaran pantas, mengendalikan khidmat kiriman jarak dekat dan penghantaran dari tingkat ke tingkat.
QuikFox, robot berautonomi jarak sederhana yang boleh membawa sehingga tiga QuikBox dalam satu perjalanan, menguruskan pemindahan antara bangunan dan menyerahkan QuikBox kepada QuikCat untuk penghantaran peringkat akhir.
Kerjasama ini bermula dengan program perintis selama enam bulan di dua kawasan komersial – South Beach Tower dan Mapletree Business City.
Robot-robot penghantaran itu kini beroperasi di kedua-dua lokasi tersebut dan penggunaannya dijangka akan diperluaskan di lebih banyak bangunan komersial di Singapura menjelang akhir 2025, kata FedEx.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg