Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif baru bagi agensi pemerintah, perniagaan rintis, perluas huraian inovatif

Feb 28, 2025 | 8:01 PM
Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang. - Foto MDDI

Satu inisiatif baru untuk membolehkan agensi pemerintah dan perniagaan bekerjasama untuk merintis dan memperluaskan huraian inovatif yang memenuhi keperluan agensi akan diperkenalkan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang.

Dalam perkongsian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kewangan (MOF) di Parlimen pada 28 Februari, Encik Huang berkata inisiatif Kerjasama Pemerolehan Inovatif baru itu akan menangani keprihatinan syarikat pemula dan perniagaan tentang beban pentadbiran dan jangkaan mempunyai rekod baik untuk mengakses peluang pemerolehan pemerintah.

Beliau menjelaskan bahawa hari ini, banyak agensi memerlukan perniagaan menunjukkan rekod baik dan kapasiti kewangan agar hanya perniagaan yang dapat melaksanakan projek dipilih.

Ini demi memastikan keandalan, terutama bagi barangan, perkhidmatan dan prasarana yang digunakan orang awam.

Meskipun pertimbangan sedemikian masih relevan, Encik Huang berkata adalah mencabar sekiranya huraian yang disarankan adalah baru dalam pasaran – seperti teknologi atau produk baru – dan lebih-lebih lagi jika perniagaannya adalah sebuah syarikat pemula.

“Selanjutnya, fasa perintis dan fasa pengerahan biasanya distrukturkan sebagai tender berasingan hari ini.

“Perniagaan yang memenangi tender bagi fasa perintis tiada kepastian bahawa ia akan dapat mengerahkan huraiannya secara meluas dengan pemerintah, meskipun jika usaha perintis itu berjaya,” kata beliau.

Dengan inisiatif Kerjasama Pemerolehan Inovatif baru itu, Encik Huang berkata pemerintah akan dapat memberikan kontrak yang meliputi kedua-dua usaha perintis dan kemudiannya, usaha pengerahan huraian inovatif yang baru dalam pasaran.

“Ini bererti perniagaan boleh diberi jaminan peluang untuk mempertingkat produk atau perkhidmatan inovatifnya, jika perintisnya berjaya,” kata beliau.

Butiran lanjut mengenai inisiatif itu akan dikongsi dalam separuh kedua 2025.

Sementara itu, Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, berkata Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) akan melanjutkan tempoh tangguh bagi perniagaan mula mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada satu bulan kepada dua bulan.

Ini adalah sebahagian daripada langkah untuk memudahkan peraturan dan mengurangkan kos pematuhan untuk perniagaan.

“Pada masa ini, perniagaan yang menjangka melepasi had pusing ganti boleh dikenakan cukai $1 juta dalam tempoh 12 bulan mendatang, perlu mendaftar dan mula mengenakan GST dalam tempoh sebulan ramalan. Garis masa ini mungkin ketat untuk sesetengah SME (syarikat kecil dan sederhana).

“Perubahan itu akan memberi SME lebih banyak masa untuk membuat persediaan,” kata beliau.

Perubahan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 dan memberi manfaat kepada 1,500 perniagaan setiap tahun.

Selain itu, Iras akan secara bertahap memperluaskan keperluan bagi pengantara mengisi maklumat pendapatan bagi pihak individu yang bekerja sendiri (SEP).

Hari ini, sekitar 87 peratus pembayar cukai meraih manfaat daripada langkah pengisian maklumat pendapatan yang dilakukan majikan mereka dan pengantara untuk pemfailan cukai pendapatan – sesuatu yang tidak dinikmati ramai SEP.

Encik Chee berkata pengantara yang mendapatkan khidmat SEP sudah pun mempunyai maklumat pendapatan SEP dan berada dalam kedudukan baik untuk melakukan demikian.

MOF telah memulakan usaha dengan memerlukan pengantara yang membayar komisen, seperti agensi hartanah dan penyedia insurans, untuk memberikan maklumat pendapatan ejen mereka, dengan ia telah memberi manfaat kepada lebih 100,000 ejen komisen yang bekerja sendiri.

“Iras merancang untuk menyertakan lebih banyak pengantara dan telah mendekati pengendali kereta sewa privet dan teksi, serta platform penghantaran. Saya menggesa pengantara ini untuk menyertai secepat mungkin,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg