Dalam penggal keduanya sebagai pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Teo Siong Seng akan mengutamakan usaha mendorong perniagaan di sini supaya meneroka pasaran baru.
Dalam menghadapi keadaan tidak menentu dan ketegangan perdagangan di peringkat sejagat, beliau menegaskan bahawa syarikat tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada beberapa pasaran utama yang sudah lama wujud, seperti Amerika Syarikat, untuk pertumbuhan.
“Walaupun persekitaran begitu rumit dan cepat berubah, kita perlu yakin bahawa syarikat Singapura mempunyai reputasi baik dari segi mutu perkhidmatan dan barangan mereka,” katanya.
Beliau menggesa perniagaan supaya “keluar daripada zon selesa” dan secara giat merebut pelbagai peluang baru dalam pasaran yang sedang pesat membangun, terutamanya di Asia Tenggara, Afrika dan Timur Tengah.
Ini adalah antara keutamaan penting yang dikongsi Encik Teo dalam wawancara media pertamanya sejak beliau dilantik semula sebagai pengerusi pada 20 Mei.
Beliau menggantikan mantan pengerusi, Encik Lim Ming Yan, yang melepaskan jawatan tersebut lebih awal sebelum penggal ketiganya berakhir, untuk memberi tumpuan kepada peranan barunya sebagai pengerusi Changi Airport Group (CAG).
Inilah kali kedua Encik Teo dilantik sebagai pengerusi SBF.
Beliau pernah memegang jawatan tersebut dari 2014 hingga 2020.
Veteran perkapalan berusia 70 tahun itu, yang dikenali dalam kalangan rakan industri sebagai SS Teo, adalah individu pertama dalam sejarah SBF yang kembali memegang jawatan tersebut, lapor The Business Times (BT).
Pada 2024, Encik Teo dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pengantarabangsaan SBF, yang menyokong syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Beliau dipilih kerana pengalamannya sebagai pengerusi eksekutif Pacific International Lines, sebuah syarikat perkapalan tempatan yang beroperasi di Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin.
Pengalaman Encik Teo dalam penerokaan pasaran antarabangsa juga menjadi sebab utama SBF melihat beliau sebagai calon sesuai untuk kembali menerajui jawatan pengerusi, sejajar dengan rancangan dewan itu untuk mendorong pengembangan ke luar negara menjelang 2030.
Encik Teo menyatakan bahawa pelbagai faktor luaran telah berubah dengan ketara.
Sejak pandemik Covid-19, krisis sedunia menjadi lebih singkat namun kerap berlaku, katanya.
Encik Teo, yang meletak jawatan semasa pandemik, kini kembali menerajui SBF di tengah-tengah ketegangan perdagangan disebabkan tarif ‘Hari Pembebasan’ yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Memandangkan cabaran itu, perniagaan di Singapura mesti mencari rakan kongsi yang berfikiran sehaluan dan meneroka pelbagai peluang di luar negara.
“Jika mereka tidak berbuat apa-apa, mereka akan terpinggir,” tegas beliau.
Bagi menyokong usaha tersebut, SBF akan menggiatkan usaha menganjurkan lebih banyak misi perdagangan bagi membantu syarikat tempatan meneroka pasaran antarabangsa yang sedang berkembang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg