Beberapa perubahan dibuat pada barisan anggota Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) susulan pengumuman barisan Kabinet baru pada 21 Mei.
Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, menyertai pasukan tersebut, sementara Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, akan meninggalkan Sert, lapor The Straits Times (ST).
Pengerusi baru Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Teo Siong Seng, pula bakal menggantikan mantan pengerusi, Encik Lim Ming Yan, sebagai wakil SBF dalam pasukan itu.
Perubahan itu akan berkuat kuasa serta-merta, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), SBF, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) dalam kenyataan media bersama pada 27 Mei.
Timbalan Perdana Menteri merangkap pengerusi pasukan petugas tersebut, Encik Gan Kim Yong, berkata:
“Mandat Sert tidak berubah. Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membantu perniagaan dan pekerja menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan dalam perdagangan global masa kini.”
Anggota lain dalam pasukan petugas itu termasuk Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; dan Presiden Snef, Encik Tan Hee Teck.
Pasukan petugas itu diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada 8 April, susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 2 April bahawa beliau akan mengenakan tarif besar-besaran ke atas semua barangan import, termasuk barangan dari Singapura.
DPM Gan pertama kali memberi bayangan tentang kemungkinan perubahan dalam barisan anggota Sert pada 16 Mei, semasa memberikan maklumat terkini kepada media mengenai kemajuan rundingan perdagangan dengan Amerika.
Beliau berkata meskipun tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Singapura tidak boleh dirunding, terdapat harapan Republik ini mungkin dikecualikan daripada cukai mengikut sektor, yang dijangka dikenakan ke atas eksport farmaseutikal dari Singapura ke Amerika.
Beliau turut menambah bahawa Pemerintah bersedia menambah baik skim sedia ada bagi membantu pekerja dan perniagaan sekiranya ekonomi global terus menjadi lemah akibat ketidaktentuan yang berpunca daripada tarif pentadbiran Encik Trump.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg