Syarikat permainan dan e-dagang, Sea Group, telah membuka ibu pejabat serantaunya bagi perniagaan perkhidmatan kewangan digital di Singapura pada 8 Mei.
Ibu pejabat itu akan menjadi pangkalan syarikat untuk membangunkan ekosistem teknologi kewangan di rantau ini.
Sea Group, yang juga syarikat induk bagi wadah beli-belah dalam talian, Shopee, turut mengumumkan cabang perniagaannya yang sebelum ini dikenali sebagai SeaMoney, kini telah dijenamakan semula sebagai Monee.
Monee telah memajak ruang pejabat merangkumi 10 tingkat dengan keluasan keseluruhan 200,000 kaki persegi di Rochester Commons – bangunan 17 tingkat yang terletak di One-North berhampiran Buona Vista – untuk dijadikan ibu pejabatnya.
Menurut Sea, pada peringkat awal, sekitar 1,000 karyawan kewangan akan berpangkalan di pejabat baru itu, meskipun ruang tersebut mampu menampung sehingga 1,500 kakitangan.
Syarikat itu memilih 8 Mei sebagai tarikh rasmi pembukaan ibu pejabatnya kerana pada tarikh yang sama 16 tahun lalu (2009), syarikat itu memulakan operasinya di Singapura sebagai sebuah syarikat pemula dalam bidang permainan, beroperasi dari sebuah rumah kedai sewa berhampiran Maxwell Road.
Sea kini telah berkembang menjadi sebuah syarikat teknologi serantau yang berpengaruh, dengan tiga teras utama perniagaan – hiburan digital, e-dagang, serta pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan, lapor The Straits Times (ST).
Semasa majlis perasmian ibu pejabat itu, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perindustrian, Dr Tan See Leng, berkata beliau sendiri telah menikmati manfaat daripada tawaran membeli-belah yang pelbagai di Shopee.
Peruncit juga berpeluang meraih manfaat, kerana wadah Shopee memberi mereka peluang untuk mengakses pasaran serantau yang baru, tambah Dr Tan.
Beliau turut menyatakan bagaimana inisiatif Sea seiring dengan usaha Singapura untuk membawa industri kewangan digital ke “puncak pertumbuhan seterusnya”.
Sebagai contoh, Monee sedang memperkukuh kemampuan inovasi utamanya melalui beberapa Pusat Kecemerlangan yang tertumpu kepada bidang seperti pengurusan produk, pengurusan risiko dan pematuhan, serta pencegahan pengubahan wang haram dan penipuan.
“Keupayaan sebegini penting dalam melindungi sistem kewangan kita daripada penyalahgunaan dan memastikan Singapura kekal sebagai pusat kewangan antarabangsa serta hab perniagaan yang dipercayai,” tambah Dr Tan.
Selain itu, MariBank, cabang perbankan digital Monee, merupakan bank digital pertama di Singapura yang memperkenal perkhidmatan pemindahan wang antarabangsa untuk pengguna runcit dan perniagaan.
Perkhidmatan yang dimulakan pada 3 April itu membolehkan syarikat tempatan membayar invois mereka dalam 10 mata wang berbeza kepada pembekal dari 13 negara.
Ia turut memudahkan urusan pemindahan wang ke luar negara.
“Dengan kita menghala ke arah aturan ekonomi sejagat baru, adalah semakin penting buat Singapura untuk terus memupuk dan menyokong perusahaan seperti Sea – sebuah syarikat yang mengukuhkan kedudukan kita sebagai hab bagi idea, bakat dan pelaburan, serta membuka peluang baru untuk ekonomi dan rakyat kita,” tambah Dr Tan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sea, Encik Forrest Li, berkata agensi pemerintah telah mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi dalam teknologi dan kewangan, sambil menambah:
“Hanya dengan asas kukuh di sini, kami mampu membina ekosistem fintech (teknologi kewangan) serantau, yang diharapkan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di seluruh Asia Tenggara dan seterusnya.”
Sejak dilancarkan pada 2014, Monee telah berkembang menjadi salah satu platform kewangan digital terbesar di Asia Tenggara dan kini menyediakan perkhidmatan kewangan bagi pengguna di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Taiwan, Vietnam serta Brazil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg