Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma induk Shopee, Sea, catat untung untuk tahun kedua berturut-turut

Keuntungan cecah AS$447.8j pada 2024 berbanding AS$162.7j pada 2023
Mar 5, 2025 | 5:31 PM
Shopee yang berpangkalan di Singapura menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 37.9 peratus tahun ke tahun kepada AS$12.4 bilion ($16.57 bilion).
Shopee yang berpangkalan di Singapura menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 37.9 peratus tahun ke tahun kepada AS$12.4 bilion ($16.57 bilion). - Foto ST

Syarikat Internet, Sea, melaporkan keuntungan untuk tahun kedua berturut-turut pada 2024, disokong oleh pertumbuhan dalam unit e-dagang dan teknologi kewangannya.

Saham Sea, yang berpangkalan di Singapura namun disenarai di Amerika Syarikat, naik 7.14 peratus apabila ditutup pada harga AS$132.31 (kira-kira $176) pada 4 Mac selepas ia mencatatkan rekod pendapatan.

Keuntungan mencecah AS$447.8 juta untuk 12 bulan hingga 31 Disember 2024, naik 175.2 peratus daripada AS$162.7 juta yang dicatatkan pada 2023.

Pendapatannya juga melonjak, meningkat 28.8 peratus kepada AS$16.8 bilion, berbanding AS$13.1 bilion pada 2023.

Menurut The Straits Times, pendapatan kumpulan itu bagi suku keempat tahun kewangan 2024 ialah AS$5 bilion, meningkat 36.9 peratus tahun ke tahun.

Semua segmen perniagaannya menyumbang kepada keputusan cemerlang 2024 itu, dengan cabang e-dagang Shopee mendahului, diikuti oleh penyedia perkhidmatan kewangan, SeaMoney, dan unit permainan serta digital, Garena.

Ketua eksekutif, Encik Forrest Li, memberitahu taklimat keputusan pada 4 Mac bahawa kumpulan itu menjangkakan semua perniagaannya kekal menguntungkan dan “mampu berdikari” pada masa hadapan.

“Set keputusan yang kukuh ini mengesahkan strategi kami: Kami membuat keputusan yang betul, pada masa yang sesuai dan melaksanakannya dengan sangat baik,” katanya.

Shopee yang berpangkalan di Singapura menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 37.9 peratus tahun ke tahun kepada AS$12.4 bilion.

Pendapatan terlaras sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) bagi unit e-dagang itu ialah AS$155.8 juta bagi tahun kewangan 2024, berbanding kerugian AS$213.8 juta pada 2023.

Ebitda diselaraskan untuk merangkumi perbelanjaan yang tidak diperuntukkan dan membantu mengenal pasti aliran asas dalam pendapatan operasi Sea.

Pesanan kasar di Shopee berjumlah 10.9 bilion untuk 12 bulan hingga 31 Disember 2024, meningkat 33 peratus tahun ke tahun.

Nilai dagangan kasar (GMV) platform itu meningkat 28 peratus tahun ke tahun kepada AS$100.5 bilion.

GMV merujuk kepada jumlah nilai barangan yang dijual antara pelanggan atau daripada platform e-dagang.

“Kami kekal yakin dengan keupayaan kami untuk terus memberikan pertumbuhan yang menguntungkan pada 2025, dan menjangkakan pertumbuhan GMV bagi tahun penuh 2025 Shopee sekitar 20 peratus, dengan peningkatan keuntungan,” kata Encik Li.

Beliau juga menyatakan bahawa Shopee menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam operasinya.

Platform itu menyediakan alat AI kepada para penjualnya untuk meningkatkan penyenaraian produk dengan menambah baik penerangan, imej dan video.

Ia juga telah menggunakan AI untuk meningkatkan keupayaan khidmat pelanggannya, termasuk menaik taraf chatbot khidmat pelanggannya dengan teknologi itu.

“Kami percaya kami masih di peringkat awal dalam penggunaan AI dan kekal komited untuk meneroka inovasi dipacu AI bagi meningkatkan kecekapan dan menyampaikan pengalaman yang lebih baik untuk pengguna kami,” kata Encik Li.

Sementara itu, SeaMoney, yang menawarkan pengguna pelbagai produk kewangan digital termasuk perkhidmatan dompet mudah alih dan perbankan, melaporkan pertumbuhan 34.6 peratus dalam hasil kepada AS$2.4 bilion untuk tahun kewangan 2024.

Garena menjejaskan pertumbuhan keseluruhan, dengan perniagaan itu mengalami penurunan hasil pada 2024 berbanding pada 2023.

Namun tunai yang dibelanjakan oleh pengguna platform permainan dan digital itu meningkat 18.7 peratus tahun ke tahun kepada AS$2.1 bilion.

Encik Li berkata Garena akan terus meningkatkan pangkalan penggunanya dan meluaskan tawaran kandungannya.

“Kami kini menjangka Garena akan berkembang sebanyak dua digit tahun ke tahun, untuk kedua-dua pangkalan pengguna dan tempahan pada 2025,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg