HCL Technologies (HCLTech), salah satu firma sofwe dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) terkemuka India, berkata ia akan membuka makmal kecerdasan buatan (AI) di Singapura pada 2025.
Makmal itu akan menawarkan produk AI generatif (GenAI) terbaru untuk membantu mempercepatkan inisiatif AI pelanggannya di seluruh Asia Tenggara.
HCLTech juga menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Politeknik Nanyang dan Politeknik Singapura untuk mengajar bakat muda dan individu pertengahan kerjaya kemahiran AI, lapor The Straits Times.
Makmal AI itu diumumkan pengerusi HCLTech, Cik Roshni Nadar Malhotra, pada 4 Oktober di ibu pejabat serantau syarikat itu di Manulife Tower, di Telok Ayer.
Makmal itu, disokong oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura, akan menjadi makmal kelima HCLTech dalam rangkaian global kemudahan sedemikiannya.
Syarikat itu juga mempunyai makmal di Amerika Syarikat, Britain, India dan Jerman.
Penubuhannya di Singapura memerlukan 20 hingga 25 jurutera dan teknisyen berpengalaman, kata Cik Malhotra kepada ST dalam satu temu bual selepas majlis itu.
Cik Malhotra berkata syarikat itu akan terus mengambil jurutera perisian, tetapi akan mencari lebih ramai pemegang diploma dan individu berpengalaman yang telah mengikuti program peningkatan kemahiran atau pengubahsuaian kemahiran untuk pertengahan kerjaya.
Beliau berkata dengan kekurangan jurutera di seluruh dunia, syarikat seperti HCLTech perlu menyesuaikan keperluan bakat mereka dan mengambil lebih ramai pemegang diploma.
Menteri Negara Kanan (Pembangunan Digital merangkap Penerangan), Encik Tan Kiat How, tetamu terhormat di acara itu, berkata Singapura ingin membina ekosistem teknologi yang bukan sahaja menyokong bakat dan tenaga kerja generasi akan datang, bahkan mereka yang mencari peluang pekerjaan pada pertengahan kerjaya.
“Saya sangat gembira bahawa HCLTech komited untuk bekerjasama dengan politeknik tempatan untuk melatih dan mengambil 50 pelajar tahun pertama dan bakat pertengahan kerjaya sepanjang beberapa tahun akan datang,” kata Encik Tan, yang juga Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara).
Encik Tan berkata tidak banyak syarikat berbilang negara global di sini mempertimbangkan untuk mengambil pelajar politeknik, mungkin kerana ramai daripada mereka lebih mengenali universiti Singapura.
Beliau menambah: “Semua universiti di sini sangat baik. Namun, pelajar politeknik juga sangat baik, dan sebahagian daripada mereka setanding malah lebih baik dari segi kemahiran teknikal, seperti pengekodan, dan dari segi pemikiran dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Encik Vijay Guntur, ketua pegawai teknologi dan ketua ekosistem di HCLTech, berkata makmal di Singapura akan membantu syarikat di sini dan di rantau ini untuk mempercepatkan inisiatif AI mereka melalui penawaran AI dan GenAI HCLTech.
“Makmal kami adalah titik permulaan untuk perusahaan yang ingin bekerjasama membangunkan pelan tindakan bagi kecekapan AI dan GenAI, keupayaan perniagaan baru, serta strategi yang memberi kelebihan daya saing pertubuhan,” katanya.
“Kami sangat teruja menambah Singapura ke dalam rangkaian kami, yang akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab serantau inovasi AI,” tambahnya.
HCLTech, yang disenaraikan di India, mempunyai permodalan pasaran kira-kira AS$55 bilion ($72.5 bilion) dan menggajikan 218,000 kakitangan di 60 negara.
Syarikat itu, yang akan berusia 50 tahun pada 2026, telah beroperasi di Singapura lebih 40 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg