Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) melahirkan harapan perniagaan Melayu/Islam akan bekerjasama untuk membantu satu sama lain menjadi lebih berjaya, dan menyeru mereka yang ingin dan berkebolehan supaya menyertai DPPMS.
Menyatakan demikian semasa sesi pertama Chamber Circle, satu inisiatif rangkaian oleh DPPMS, Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, menyeru peluang perkongsian diteroka secara bersama demi mendapatkan pandangan berharga daripada pemimpin industri.
“Jika anda merasakan bahawa ada perkara yang DPPMS boleh perbaiki, atau ada yang rasa berkebolehan untuk menyumbang lebih kepada komuniti kami, marilah sertai kami,” jelas beliau.
The Chamber Circle, yang diadakan pada 22 Januari, bertujuan memudahkan rangkaian dan kerjasama tersebut, bagi membantu perniagaan milik Melayu/Islam berkembang ke pasaran antarabangsa, terutama di negara majoriti Islam.
Perubahan kepada peringkat keahlian juga telah diumumkan dan para peserta diberi peluang memberi maklum balas dan cadangan mengenai cara menambah baik sokongan yang diberikan oleh DPPMS.
“Kami membuat perubahan kerana kami ingin sejajar dengan perubahan dunia perniagaan,” tambah Naib Presiden DPPMS, Cik Fadilah Majid.
“Kita tidak boleh dilihat sebagai hanya sekadar dewan tempatan sahaja, kita harus dilihat sebagai dewan antarabangsa.” tambah beliau.
Para peserta digalakkan meneroka peluang perkongsian dan mendapatkan pandangan berharga daripada pemimpin industri.
Mereka juga digalakkan menjadi lebih proaktif untuk ke depan dan berkongsi tentang cabaran yang dihadapi semasa menjalankan perniagaan mereka, agar DPPMS dapat menyokong mereka dengan lebih baik lagi.
Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; peguam A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip; Presiden Darul Arqam, Muhammad Imran Kuna Abdullah, merupakan antara individu yang penuh dengan pengalaman yang turut hadir acara itu untuk berkongsi pendapat dan pengalaman berharga mereka kepada para hadirin.
Mereka membincangkan isu-isu penting dalam perniagaan dan memberi nasihat-nasihat praktikal seperti untuk memanfaatkan sumber-sumber industri dan untuk sentiasa bersedia berdepan dengan perubahan agar kekal berdaya saing dalam pasaran global.
Sesi itu menyediakan peluang rangkaian yang sangat berharga bagi peserta untuk mengembangkan hubungan strategik dan memperoleh pandangan industri yang berguna untuk pertumbuhan perniagaan mereka.
Pengasas bersama Pearls of Orient, sebuah syarikat perdagangan, Cik Rina Harman, berkongsi rasa yakin beliau terhadap inisiatif baru DPPMS itu.
“Banyak perniagaan yang hilang tenaga dan semangat apabila menjalankan perniagaan mereka. Mendengar tentang usaha DPPMS untuk menjadi lebih terlibat dalam menyokong perniagaan Melayu/Islam amat memberangsangkan,” jelas beliau.
Rakan niaga beliau, Cik Niza Halim, menekankan bahawa acara sebegini merupakan wadah yang hebat untuk pelajari daripada pengalaman mereka yang sudah pakar dan lama berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Program itu dijangka terus memberikan platform berharga bagi para peserta untuk meneroka peluang perkongsian dan memahami lebih mendalam tentang peluang di pasaran global.
Sesi seterusnya, yang fokus kepada perniagaan makanan dan minuman (F&B), akan diadakan pada 3 Februari, memberi peluang kepada usahawan untuk terus belajar, berkembang, dan menghubungkan diri dengan rangkaian yang lebih luas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg