Sekitar 50 pelajar Madrasah Al-Ma’arif kini berpeluang mempertingkat diri dengan kemahiran dan pengetahuan penting untuk cabaran keusahawanan menerusi Program Asasi Asatizah (Madrasah) yang baru.
Dilancarkan oleh Akademi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada 1 Ogos, program itu disasarkan kepada mereka yang berada di peringkat menengah dan prauniversiti dan akan berlangsung sehingga 12 September.
Menurut kenyataan DPPMS pada 7 Ogos, program komprehensif itu bertujuan melengkapi pelajar dengan kemahiran serta pengetahuan penting, dan menampilkan modul yang merangkumi pelbagai aspek perniagaan dan keusahawanan.
“DPPMS menggalakkan belia melibatkan diri dalam latihan keupayaan untuk meningkatkan kedua-dua kemahiran insaniah dan keusahawanan mereka, bagi menyediakan mereka keupayaan menerajui projek dengan jayanya pada masa hadapan,” ujar Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor.
Naib Presiden Kedua DPPMS dan Pengerusi Akademi DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, pula berkata pelajar akan mempelajari strategi meletakkan dan membezakan jenama mereka dengan berkesan dalam pasaran yang kompetitif dan memperoleh pengetahuan mencipta ramalan kewangan yang realistik.
Beliau menekankan bahawa ia adalah kemahiran penting bagi belanjawan dan perancangan kewangan dalam sebarang usaha perniagaan.
Para pelajar telah menghadiri modul pertama, Modul Asas Perniagaan, pada hari pelancaran program itu.
Mengikuti modul pertama, peserta seterusnya akan melalui modul Pengurusan Projek, Kedudukan Jenama untuk Menonjol dan Membina Ramalan Kewangan.
Setiap modul berlangsung 1.5 jam di Madrasah Al-Ma’arif. Sesi dikendalikan oleh Encik Abu Sofian, Pengasas dan Penceramah Utama daripada Seyrul Consulting.
Para pelajar, kesemuanya dari Kelab Kegiatan Kokurikulum (CCA) Kemahiran Hidup dan Keusahawanan, bakal mengaplikasikan ilmu yang ditimba dalam projek mereka termasuk projek pengumpulan dana yang dijadualkan pada 2025.
Guru Madrasah Al-Ma’arif, Cikgu Nur Hidayah Masri, meluahkan harapan agar “pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya menjalankan projek keusahawanan” dan lebih berpengetahuan dalam menganjurkan projek mengumpul dana untuk madrasah menjelang akhir program.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg