MAS: Sektor teknologi mungkin sumbang lebih besar kepada pertumbuhan GDP pada 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS: Sektor teknologi mungkin sumbang lebih besar kepada pertumbuhan GDP pada 2026

Jan 29, 2026 | 5:53 PM

MAS: Sektor teknologi mungkin sumbang lebih besar kepada pertumbuhan GDP pada 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapura mengeluarkan cip memori yang penting untuk menyimpan set data besar bagi model kecerdasan buatan (AI), serta menjalankan perkilangan pelayan, komponen, dan peralatan rangkaian yang menyokong operasi AI.
Singapura mengeluarkan cip memori yang penting untuk menyimpan set data besar bagi model kecerdasan buatan (AI), serta menjalankan perkilangan pelayan, komponen, dan peralatan rangkaian yang menyokong operasi AI. - Foto fail

Kegiatan berkaitan teknologi, seperti perkilangan elektronik dan peralatan IT, dijangka menyumbang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi Singapura pada 2026 berbanding 2025.

Ini susulan permintaan lebih tinggi untuk cip kecerdasan buatan (AI) yang digunakan dalam pusat data.

Segmen ekonomi bukan teknologi, termasuk sektor aeroangkasa serta kewangan dan insurans, juga dijangka memberi sumbangan penting kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam ulasan makroekonomi yang diterbitkan pada 29 Januari.

“Permintaan global bagi AI dijangka memberi sokongan jangka pendek kepada sektor berkaitan perdagangan Singapura.

“Walaupun Singapura tidak menghasilkan cip unit pemprosesan grafik (GPU) atau cip memori jalur lebar tinggi (HBM) untuk AI – sebilangan besar dihasilkan di Taiwan dan Korea Selatan – negara ini masih terlibat secara tidak langsung dalam rantaian bekalan AI di fasa awal perkilangan,” kata MAS.

Fasa awal perkilangan merujuk kepada pengeluaran cip memori di Singapura yang penting untuk menyimpan set data besar bagi model AI, serta menjalankan perkilangan pelayan, komponen, dan peralatan rangkaian yang menyokong operasi AI.

Penguasa kewangan itu menambah bahawa Singapura akan terus memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai global AI, dengan syarikat gergasi cip memori Amerika Syarikat, Micron, dijangka memulakan operasi kemudahan cip HBM di Woodlands pada 2026.

“Secara lebih meluas, segmen berkaitan teknologi dijangka menyumbang lebih besar kepada pertumbuhan GDP tahun ini (2026) berbanding 2025,” kata MAS.

Segmen berkaitan teknologi merangkumi perkilangan barangan elektronik, mesin dan sistem; perdagangan borong komponen elektronik, peralatan telekomunikasi dan komputer; serta perkhidmatan IT dan maklumat.

MAS turut mengenal pasti kekuatan dalam segmen ekonomi bukan teknologi yang dijangka memberi sumbangan kepada pertumbuhan GDP pada 2026.

Dalam sektor perkilangan, MAS berkata segmen aeroangkasa dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan berterusan dalam pesanan penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO), terutamanya bagi pesanan yang melibatkan enjin pesawat dengan skop kerja lebih rumit.

Syarikat aeroangkasa yang sedang mengembangkan dan menaik taraf kemudahan mereka di sini juga dijangka memperkukuh pertumbuhan segmen tersebut.

Dalam sektor perkhidmatan, MAS berkata sektor kewangan dan insurans dijangka mendapat sokongan daripada keadaan makroekonomi dan kewangan yang secara umum mampu membuat penyesuaian jika berdepan dengan perubahan.

MAS menjangkakan pertumbuhan jumlah pinjaman akan kekal kukuh dalam beberapa bulan pertama 2026, sebelum berkembang pada kadar lebih sederhana.

Ini meskipun kebanyakan ekonomi utama dunia menghampiri penghujung fasa pelonggaran dasar kewangan.

Pada 28 Januari, Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika mengekalkan kadar faedah utama mereka dan menandakan pendekatan lebih berhati-hati terhadap sebarang langkah penyesuaian pada masa akan datang.

MAS pula tidak membuat sebarang perubahan terhadap dasar dolar Singapura pada 29 Januari, sambil meningkatkan unjuran inflasi.

MAS menyatakan pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka kekal kukuh dalam jangka pendek, meskipun ia dijangka mengalami pertumbuhan lebih sederhana berbanding pertumbuhan 4.8 peratus pada 2025.

Menurut unjuran Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan antara 1 dengan 3 peratus pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg