Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma semikonduktor KLA buka kilang baru di S’pura

Oct 4, 2024 | 4:02 PM
(Dari kiri) Ketua Operasi KLA Singapura, Encik Gregory Grant; Presiden KLA Singapura dan Naib Presiden Kanan, Operasi Global KLA Corp, Encik Theo Kneepkens; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan KLA Corp, Encik Bren Higgins; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Naib Presiden Eksekutif, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Encik Pee Beng Kong; dan Pengarah Kumpulan JTC, Cik Yvonne Lim, di majlis pecah tanah kilang baru keempat KLA pada 3 Oktober.
(Dari kiri) Ketua Operasi KLA Singapura, Encik Gregory Grant; Presiden KLA Singapura dan Naib Presiden Kanan, Operasi Global KLA Corp, Encik Theo Kneepkens; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan KLA Corp, Encik Bren Higgins; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Naib Presiden Eksekutif, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Encik Pee Beng Kong; dan Pengarah Kumpulan JTC, Cik Yvonne Lim, di majlis pecah tanah kilang baru keempat KLA pada 3 Oktober. - Foto ZAOBAO

Syarikat pembuat peralatan semikonduktor dari Amerika Syarikat, KLA Corp, telah menyiapkan fasa pertama pembinaan kilang keempat terbarunya di Singapura.

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan AS$200 juta ($259 juta) untuk memperluas kehadirannya di sini, dan menyediakan produk untuk pelanggan di Asia dan serata dunia.

Fasa kedua pembinaannya akan bermula tidak lama lagi, dan apabila siap menjelang 2026, tapak baru itu dijangka memerlukan sekitar 400 tambahan pekerja tempatan, kata firma itu pada satu majlis pada 3 Oktober, untuk menandakan selesainya pembinaan fasa pertama.

Berpangkalan di California, KLA Corp membuka pejabat jualan dan perkhidmatan yang pertama di Singapura pada 1996 dan memulakan pengilangan pada 2006.

Ia kini menggaji sekitar 1,500 pekerja dan mempunyai ibu pejabat serantaunya di sini.

Menurut The Straits Times (ST), pertumbuhan KLA Corp berlaku berikutan beberapa perjanjian pelaburan baru bersama syarikat yang memasang siap semikonduktor atau syarikat yang sebahagian daripada rantaian bekalan pengilangan atau manufacturing value chain.

Antara pelaburan baru KLA Corp termasuk GlobalFoundries, Micron, Siltronic, Soitec, UMC dan usaha sama $7.8 bilion oleh Vanguard International dan NXP Semiconductors.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata pada majlis KLA bahawa Singapura menyumbang kira-kira 20 peratus daripada bahagian pasaran global bagi peralatan semikonduktor.

“Kami bersedia untuk memenuhi permintaan global bagi semikonduktor dengan mengembangkan industri peralatan semikonduktor kami,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Beliau menyatakan bahawa kemudahan baru KLA Corp akan membina antara peralatan yang paling kompleks dan canggih, seperti geometri wafer, alat pemeriksaan kerosakan optik serta alat pemeriksaan kerosakan eBeam.

“Permintaan untuk teknologi semikonduktor baru akan terus memacu inovasi dan pertumbuhan dalam industri peralatan semikonduktor,” tambah Encik Gan.

“Kami berharap ini seterusnya akan memacu syarikat seperti KLA untuk memperkukuh pelaburan mereka di Singapura, memacu pertumbuhan industri peralatan semikonduktor kami dan menjana pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.”

KLA Singapura adalah salah satu penyokong kuat Program Penukaran Kerjaya (CCP) Singapura untuk merekrut dan meningkatkan kemahiran pekerja tanpa latar belakang industri semikonduktor.

Setakat ini, firma itu telah melatih lebih 300 pekerja di bawah skim itu.

Encik Gan berkata pertumbuhan KLA juga akan menawarkan lebih banyak peluang kepada firma tempatan untuk bekerjasama dengannya dalam bidang khusus.

Ini dari masa ke masa akan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk menjadi peneraju dalam ekosistem pembekal.

KLA juga menjalankan pusat latihan teknikal global terbesarnya di sini. Ia menawarkan latihan dan pensijilan produk khusus, kepada pelanggan dari dalam dan luar negara. 

Encik Theo Kneepkens, Presiden KLA Singapura dan Naib Presiden Kanan, Operasi Global KLA Corp, berkata: “Kilang baru ini adalah bukti kepentingan strategik Singapura dan pertumbuhan luar biasa perniagaan kami di rantau ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg