Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) dan firma gergasi semikonduktor, Applied Materials, telah bersama-sama melancarkan makmal untuk membangunkan penyelesaian bagi peralatan semikonduktor dan mencipta keupayaan untuk ekosistem cip Singapura.
Makmal Bersama Applied Materials-A*Star bagi Pemecut Peralatan Proses Gunaan (Apex) akan membangunkan proses pembuatan semikonduktor yang meminimumkan sisa bahan dan memaksimumkan kecekapan sumber.
Ia juga bertujuan membangunkan komponen dan kaedah untuk menambah baik peralatan bagi pasaran ‘Internet-of-Things’ (IoT), komunikasi, automotif, kuasa dan penderia, dan untuk mencipta model komputer bagi menguji, mensimulasikan dan mengoptimumkan proses dan reka bentuk baru.
Institut penyelidikan A*Star akan menyumbangkan penyelidikan dan kepakaran mereka untuk membangunkan pendekatan baru dalam mereka bentuk dan membina proses pembuatan dan komponen berinovatif untuk peralatan semikonduktor, kata pihak berkenaan dalam satu kenyataan pada 6 September, lapor The Business Times.
Ia juga akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (SME) Singapura.
Profesor Lim Keng Hui, yang merupakan penolong ketua eksekutif Majlis Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan di A*Star, berkata:
“Matlamat kami adalah untuk melengkapkan mereka dengan kepakaran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menghasilkan komponen semikonduktor bermutu tinggi dan boleh dipercayai, membolehkan mereka berkembang dalam keupayaan dan daya saing, dan meningkatkan rantaian nilai global.”
Dr Arvind Sundarrajan, pengarah urusan kumpulan produk semikonduktor dalam Applied Materials, menambah:
“Kerjasama ini menyokong aktiviti pembangunan produk semikonduktor Applied di Singapura, dan sejajar dengan rancangan ‘Singapura 2030’ untuk mengukuhkan keupayaan pembuatan dan R&D (penyelidikan dan pengembangan) globalnya, meluaskan perkongsian ekosistem teknologi dalam Singapura, dan menggalak pembangunan tenaga kerja tempatan.”
A*Star dan Applied Materials telah bekerjasama dalam bidang semikonduktor selama lebih 10 tahun.
Apex dilancarkan di Persidangan Inovasi & Teknologi Pembuatan oleh Institut Teknologi Pembuatan Singapura 2024 pada 5 September.
Bercakap semasa perasmian persidangan itu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, menggariskan usaha pemerintah untuk mengembangkan ekosistem inovasi pembuatan termaju tempatan, tetapi juga menyatakan kepentingan perkongsian awam-swasta dalam ruang ini.
Makmal itu akan meneruskan usaha berterusan oleh Applied Materials dan A*Star dalam membangunkan peralatan semikonduktor dan menambah baik rantaian bekalan tempatan,” katanya.
“Ini juga memperdalam perkongsian antara MNC (syarikat berbilang negara) dan syarikat tempatan, menghubungkan mereka ke dalam rantaian nilai global.”
Singapura ialah “pusat kritikal” dalam rantaian bekalan global untuk peralatan semikonduktor, memandangkan satu daripada lima unit peralatan dipasang di negara ini. Makmal ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Republik dalam industri, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg