Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma teknologi Aust, Canva, buang 22% kakitangan, rombak struktur kerja
Firma teknologi Aust, Canva, buang 22% kakitangan, rombak struktur kerja
SYDNEY: Canva mengumumkan pemberhentian pekerja dan rombakan besar-besaran yang akan menjejas lebih satu perlima tenaga kerjanya.
Ini berlaku apabila kecerdasan buatan (AI) memaksa penilaian semula struktur di salah sebuah syarikat teknologi paling terkenal di Australia.
Seramai 1,271 orang, atau 22 peratus kakitangan Canva, akan kehilangan kerja, bertukar peranan atau berpindah ke pusat utama, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Canva, Cik Melanie Perkins, dalam nota kepada pekerja yang disiarkan di laman web syarikat pada 4 November.
Perubahan besar di Canva – wadah reka bentuk dan penerbitan dalam talian – mencerminkan pergolakan lebih luas dalam industri perisian.
Pelabur telah melenyapkan berbilion dolar daripada nilai syarikat-syarikat itu kerana bimbang teknologi baharu seperti Claude daripada Anthropic PBC akan menggugat perniagaan mereka.
AI membolehkan pengguna menghasilkan lebih banyak tugasan tanpa program khusus, sementara syarikat memanfaatkannya untuk beroperasi dengan tenaga kerja yang lebih kecil.
“Teknologi baharu sedang mengubah apakah yang boleh dicipta manusia, cara mereka mencipta, dan apakah yang mereka harapkan daripada produk yang mereka gunakan,” kata Cik Perkins dalam nota itu.
“Saya telah membuat keputusan yang sukar bahawa perubahan kecil tidak akan mencukupi.”
Cik Perkins, yang menubuhkan Canva bersama Encik Cliff Obrecht, dan Encik Cameron Adams, tidak menyatakan berapa ramai kakitangan yang akan kehilangan kerja.
Namun, syarikat itu mencatatkan pertumbuhan paling perlahan buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Perkins, Canva perlu meringkaskan struktur perniagaan dan kembali beroperasi dalam pasukan kecil yang mempunyai kuasa autonomi. – Agensi berita.