Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma teknologi Aust, Canva, buang sekitar 22% pekerja, ubah peranan kerja yang lain
Firma teknologi Aust, Canva, buang sekitar 22% pekerja, ubah peranan kerja yang lain
SYDNEY: Canva mengumumkan pemberhentian pekerja dan rombakan besar-besaran yang akan menjejaskan lebih satu perlima tenaga kerjanya. Ini berlaku apabila kecerdasan buatan (AI) memaksa penilaian semula struktur di salah sebuah syarikat teknologi paling terkenal di Australia.
Seramai 1,271 orang, atau 22 peratus kakitangan Canva, akan kehilangan kerja, bertukar peranan atau berpindah ke pusat utama, kata ketua pegawai eksekutif (CEO) Canva, Cik Melanie Perkins, dalam nota kepada pekerja yang disiarkan di laman web syarikat pada 4 November.
Perubahan besar di Canva – platform reka bentuk dan penerbitan dalam talian – mencerminkan pergolakan yang lebih luas dalam industri perisian.
Pelabur telah melenyapkan berbilion dolar daripada nilai syarikat-syarikat itu kerana bimbang teknologi baharu seperti Claude daripada Anthropic PBC akan menggugat perniagaan mereka.
AI membolehkan pengguna melakukan lebih banyak perkara sendiri tanpa program khusus, manakala syarikat pula menggunakan AI untuk beroperasi dengan lebih sedikit pekerja.
“Teknologi baharu sedang mengubah apa yang boleh dicipta manusia, cara mereka mencipta, dan apa yang mereka harapkan daripada produk yang mereka gunakan,” kata Cik Perkins dalam nota itu.
“Saya telah membuat keputusan yang sukar bahawa perubahan kecil tidak akan mencukupi.”
Cik Perkins, yang menubuhkan Canva bersama Encik Cliff Obrecht dan Encik Cameron Adams, tidak menyatakan berapa ramai kakitangan yang akan kehilangan kerja.
Namun, syarikat itu mencatatkan pertumbuhan paling perlahan buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Cik Perkins, Canva perlu menjadi perniagaan yang lebih mudah dan kembali bekerja dalam pasukan kecil yang diberi kuasa membuat keputusan sendiri. – Agensi berita.