Perusahaan perlu bersedia menghadapi tarif Amerika dan kos eksport lebih tinggi yang berkekalan, daripada mengharapkan levi tersebut berakhir apabila peralihan politik berlaku di negara ekonomi terbesar di dunia itu selepas empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Encik Gan berkata terdapat konsensus bipartisan yang semakin meningkat di Amerika mengenai penggunaan tarif untuk mencapai perjanjian perdagangan yang adil dan seimbang dengan dunia.
Ini selain untuk memindahkan operasi industri penting dari luar negara kembali ke Amerika atau berhampiran negara itu.
Beliau menambah bahawa defisit kewangan yang meningkat bererti tarif akan menjadi sumber pendapatan cukai semakin penting bagi pemerintah Amerika.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata demikian dalam ucapan pembukaannya di Persidangan Asean yang diadakan di Pusat Konvensyen Resorts World pada 3 Julai.
Bertemakan ‘Penyepaduan Asean dalam Dunia Pelbagai Polar’, persidangan itu dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di samping rakan pengasas UOB, RSM Singapore dan Rajah & Tann.
Meskipun banyak firma hari ini menolak tarif yang dikenakan, Encik Gan berkata apabila firma tersebut melabur di Amerika dan menubuhkan pangkalan pengeluaran di sana, insentif bagi mereka adalah untuk memastikan tugas tersebut kekal demi melindungi pelaburan mereka.
Beliau menggesa perniagaan supaya bersiap sedia bagi penelitian lebih mendalam ke atas pengeluaran dan rantaian bekalan mereka, dan untuk menubuhkan saluran eksport berasingan ke Amerika berbanding seluruh dunia.
“Untuk meraih manfaat daripada tarif lebih rendah – terutamanya dalam sektor seperti keluli, kereta dan, pada masa akan datang, farmaseutikal – syarikat mesti bersedia memenuhi syarat Amerika…meskipun jika syarat tersebut datang dengan kos lebih tinggi,” kata beliau.
Selain mewujudkan saluran eksport berasingan, firma juga mesti melabur dalam pelbagai pasaran baru – dan bahkan, produk dan perkhidmatan baru.
Walaupun terdapat usaha bersepadu dalam kalangan rakan berfikiran serupa untuk memelihara persekitaran perdagangan sejagat yang terbuka, dunia mesti bersedia bagi landskap fahaman perlindungan (protectionist) di hadapan, tambah Encik Gan.
Encik Gan turut mengulas tentang berita terkini berhubung perjanjian perdagangan Vietnam dengan Amerika yang dikatakan berakhir dengan levi 20 peratus lebih rendah daripada yang dijanjikan.
Belia berkata semua orang “tidak sabar menanti” hasil rundingan Amerika dengan rakan-rakan dagangan utamanya yang lain.
Adalah penting untuk merenungkan niat Amerika, tambah beliau.
Encik Gan berkata Amerika mahukan “perdagangan adil dan seimbang” dengan dunia – namun ini juga tidak bermakna ia bersikap tidak ambil peduli terhadap perdagangan bebas atau, lebih khusus, halangan perdagangan terhadap eksportnya.
“Bahkan, Amerika juga mahu menangani langkah-langkah bukan tarif dalam perbincangan ini, seperti standard, syarat ujian dan pensijilan, dan keperluan kebersihan dan fitosanitasi (bagi lindungi tumbuhan daripada ancaman perosak),” kata beliau.
Tambahan pula, Amerika mahu memindahkan kembali pengeluaran domestik dalam industri seperti keluli, farmaseutikal dan semikonduktor – industri yang dilihat sebagai penting bagi keselamatan nasional dan ekonomi, yang menjelaskan tarif khusus produknya – ke negaranya atau berhampiran negaranya.
Namun begitu, Encik Gan berkata Amerika masih belum berputus asa terhadap sistem perdagangan pelbagai hala.
Walaupun Amerika telah mengkritik Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kerana apa yang dilihatnya sebagai ketidakupayaan untuk secara berkesan menangani isu seperti amalan bukan pasaran dan lebihan kapasiti, ia tidak menarik diri daripada forum antarabangsa itu, kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg