Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiausaha AS: Tarif tidak sasar S’pura

Vivian turut bangkit isu kawalan eksport kepada Marco Rubio
Jun 5, 2025 | 5:51 PM
Dr Vivian Balakrishnan, Marco Rubio, Amerika Syarikat
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri), bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, di Washington, DC, pada 4 Jun. - Foto AFP

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah membangkitkan isu kesan tarif dan kawalan eksport Amerika Syarikat kepada Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, yang menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak disasarkan kepada Singapura.

“Namun begitu, masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam beberapa bulan mendatang untuk memastikan (isu itu) tiada kesan sampingan ke atas Singapura, oleh itu kita perlu terus berhubung rapat dengan pentadbiran Amerika dalam bulan-bulan mendatang,” kata Dr Balakrishnan dalam satu kenyataan selepas pertemuan mereka pada 4 Jun.

Dr Balakrishnan sedang berada di Washington, DC, untuk lawatan kerja.

Beliau dan Encik Rubio telah mengadakan “perbincangan penting dan meluas” mengenai hubungan dua hala serta perkembangan antarabangsa, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).

MFA menambah bahawa Dr Balakrishnan turut menyuarakan kesan dasar tarif Amerika terhadap Singapura sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka yang sangat bergantung kepada perdagangan. 

Beliau turut menegaskan komitmen republik ini untuk terus menjalin kerjasama membina dengan Amerika bagi mencari penyelesaian menguntungkan bagi kedua-dua negara, termasuk bagi isu eksport farmaseutikal.

Pada Mei, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata tarif keutamaan – atau sifar tarif – ke atas eksport farmaseutikal Singapura ke Amerika merupakan antara konsesi yang sedang dibincangkan dalam rundingan kedua-dua negara.

Namun, kesan sampingan dasar tersebut sudah mula dirasai, dengan kegiatan perkilangan Singapura menguncup dua bulan berturut-turut sejak April, menyusuli tarif yang dikenakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang terus menjejas prospek ekonomi sejagat.

Sebahagian besar tarif sejagat berskala besar yang dikenakan Encik Trump telah digantung selama 90 hari, dan penangguhan itu dijangka tamat pada awal Julai.

Semasa pertemuan mereka, Dr Balakrishnan dan Encik Rubio turut menegaskan semula komitmen mereka terhadap hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dalam bidang tradisional seperti ekonomi, pertahanan dan keselamatan, serta bidang baru seperti teknologi, tenaga dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut MFA, mereka turut membincangkan prospek kerjasama dalam bidang lain, termasuk jawatan pengerusi Kumpulan 20 (G20) oleh Amerika pada 2026, serta cara Singapura boleh menyumbang secara bermakna dan praktikal kepada keutamaan Amerika.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Encik Rubio berkata beliau telah menegaskan semula kekuatan hubungan strategik antara Amerika dengan Singapura serta komitmen bersama kedua-dua negara terhadap sebuah rantau Indo-Pasifik yang “selamat, terjamin dan makmur”.

Dr Balakrishnan sedang dalam lawatan kerja ke London dan Washington, DC, dari 3 hingga 7 Jun, bagi mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang tradisional dan baru yang menjadi kepentingan bersama, lapor The Straits Times (ST).

Dalam lawatannya ke Washington, DC, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan pentadbiran, ahli-ahli Kongres serta tokoh penting lain. 

Beliau juga akan menyertai sesi perbincangan anjuran badan pemikir Amerika, Hudson Institute, untuk membincangkan cara Amerika boleh memperkukuh penglibatannya dengan Singapura dan rantau ini.

Ini merupakan lawatan menteri pertama Singapura ke Amerika sejak kedua-dua pemerintah memulakan penggal baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg