Platform penghantaran Foodpanda mula menawarkan pilihan pekerjaan sepenuh masa kepada pekerja penghantarannya, lengkap dengan syif kerja tetap serta faedah pekerja.

Menawarkan gaji asas bulanan sebanyak $1,800, jawatan tersebut buat masa ini tertumpu kepada pengguna basikal dan basikal elektrik, dengan bonus $600 diagihkan sepanjang enam bulan pertama bagi mereka yang mendaftar sekarang.

Pekerja penghantaran di bawah skim ini perlu bekerja selama 44 jam seminggu, manakala mereka yang menggunakan kenderaan sendiri akan menerima elaun tambahan $100 setiap bulan.

Foodpanda akan menyediakan basikal elektrik bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Mereka yang mendaftar dikehendaki mencapai sasaran penghantaran sebanyak 320 pesanan setiap bulan.

Gaji asas tetap akan dibayar kepada pekerja penghantaran selagi mereka memenuhi syarat waktu kerja selama 44 jam seminggu.

Namun, mereka boleh berdepan tindakan, termasuk penamatan perkhidmatan, sekiranya gagal mencapai sasaran 320 pesanan tersebut, menurut laman web Foodpanda.

Dilancarkan pada 21 Oktober, skim itu bertujuan melengkapkan rangkaian pekerja penghantaran sedia ada dalam ekonomi gig dan bukan menggantikan mereka, kata jurucakap Foodpanda kepada The Straits Times (ST) pada 23 Oktober.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengukuhkan keupayaan penghantaran dan mengekalkan perkhidmatan yang boleh dipercayai bagi pelanggan serta rakan niaga kami, terutamanya di kawasan atau semasa tempoh (tertentu) yang memerlukan sokongan tambahan.”

Jurucakap itu menambah bahawa pilihan pekerjaan sepenuh masa ini merupakan aturan berasingan dan khusus bagi mereka “yang lebih gemar waktu kerja tetap, gaji bulanan tetap serta faedah wajib pekerja yang lain”.

Menurut laman web Foodpanda, waktu kerja dibahagikan kepada syif empat jam yang boleh dipilih oleh pekerja penghantaran.

Ia turut menganggarkan bahawa pekerja penghantaran yang cekap boleh mencapai sasaran 320 pesanan itu dalam masa 100 hingga 110 jam sebulan, atau sekitar 25 hingga 27.5 jam seminggu.

Pekerja penghantaran yang berjaya mencapai kuota mereka lebih awal bebas menggunakan baki masa mengikut kehendak sendiri, termasuk melakukan penghantaran ad-hoc untuk pendapatan tambahan berdasarkan jumlah pesanan yang diselesaikan.

Selain itu, mereka yang memilih skim ini bakal menerima caruman penuh Tabung Simpanan Pekerja (CPF), serta perlindungan perubatan dan faedah pekerja lain, termasuk cuti tahunan selama tujuh hari.

Satu hari cuti tambahan akan ditambah bagi setiap tahun perkhidmatan.

Di bawah Akta Pekerja Platform, pekerja platform yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1995 diwajibkan mencarum lebih banyak ke dalam akaun CPF mereka, manakala syarikat platform turut dikehendaki membayar bahagian caruman mereka.

Mulai 1 Januari 2027, kadar caruman bagi kumpulan pekerja platform berkenaan adalah sebanyak 15.5 peratus, manakala pengendali platform perlu mencarum 10.5 peratus.

Kadar berkenaan akan dinaikkan secara berperingkat sehingga mencapai 20 peratus dan 17 peratus masing-masing menjelang 1 Januari 2029, sejajar dengan kadar caruman CPF semasa bagi pekerja berumur 55 tahun dan ke bawah.

Jurucakap itu menambah bahawa Foodpanda sedang bekerjasama dengan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) bagi meneliti kesan skim berkenaan ke atas pekerja platformnya, terutama dari segi peluang pendapatan dan kebajikan mereka.

Mereka yang berminat dengan program ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web Foodpanda.