Pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantaran yang menunggang motosikal berkata mereka faham mengapa pemerintah memperketat undang-undang jalan raya, iaitu untuk menjaga keselamatan semua pengguna.

Namun, sebahagian daripada kumpulan ini yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka masih ragu-ragu mengenai pelaksanaan undang-undang yang diluluskan Parlimen baru-baru ini, terutama mengenai penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

Pada 4 Ogos, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan Pelbagai), yang antara lain, menjadikannya satu kesalahan bagi pemandu memegang telefon bimbit semasa memandu, walaupun jika alat itu tidak digunakan.

Bagaimanapun, menggunakan telefon yang dipasang pada alat pemegang semasa kenderaan bergerak tidak melanggar undang-undang, jika ia dilakukan dengan alasan yang sah seperti menggunakan aplikasi navigasi – seperti yang dinyatakan Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim Ann, di Parlimen.

Juga, pemandu boleh memegang telefon mereka apabila kenderaan tidak bergerak.

Undang-undang lebih tegas itu dilaksanakan sedang jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencecah paras tertinggi dalam tempoh sedekad, iaitu sebanyak 149 kes pada 2025 berbanding 141 kes pada 2016.

Beberapa pekerja platform yang dihubungi BH berkata mereka menggunakan alat pemegang telefon dan apabila menerima panggilan semasa di jalan raya, akan menggunakan alat wayarles untuk menjawab panggilan tersebut.

Namun masih ada dalam kalangan mereka yang kurang pasti sama ada mereka melanggar undang-undang jika mereka memegang telefon semasa kenderaan tidak bergerak di jalan raya, misalnya semasa berhenti di lampu isyarat merah.

Pekerja penghantaran Grab, Encik Talhah Mohamed Ali, 21 tahun, berkata beliau seperti ramai pekerja platform lain bergantung pada telefon bimbit untuk tujuan navigasi dan juga membalas mesej yang dihantar pelanggan.

“Saya banyak gunakan telefon semasa lampu isyarat merah untuk balas mesej, tetapi saya tidak pasti sama ada ini adalah satu kesalahan atau tidak memandangkan saya tidak bergerak pada ketika itu,” kata beliau.

Encik Talhah menambah bahawa undang-undang yang baru diluluskan itu juga boleh membuat penunggang yang kurang berpengalaman berasa tertekan, terutamanya mereka yang belum lagi terbiasa dengan jalan raya dan perlu bergantung pada telefon untuk mencari tempat.

Pada masa yang sama sebahagian pekerja penghantaran berkata undang-undang baru itu mendorongnya bersikap lebih berhati-hati semasa menggunakan telefon.

Pekerja penghantaran makanan dengan foodpanda, Encik Ahmad Yasin Usman, 22 tahun berkata:

“Jika saya perlu semak tempahan atau mesej pelanggan, saya akan pastikan saya tidak pegang telefon semasa sedang kawal motosikal,” kata beliau.

Memberi respons kepada pertanyaan BH, Anggota Parlimen (AP) pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata terdapat kebimbangan praktikal yang telah diutarakan oleh pekerja platform dan juga mereka yang mencari rezeki melalui kerja memandu tentang bagaimana langkah baru itu akan dilaksanakan.

“Contohnya, ramai yang bergantung pada telefon mereka untuk navigasi dan notifikasi berkaitan kerja.

“Oleh itu, mereka ingin mendapatkan bimbingan jelas tentang apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di bawah undang-undang baru,” kata beliau, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC.

Dalam jawapan yang digabungkan kepada BH, Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) berkata pihak mereka akan mempertingkatkan usaha mendidik pemandu dan penunggang mengenai undang-undang baru yang diluluskan Parlimen dan memperkukuh tabiat penggunaan jalan raya yang selamat melalui saluran komunikasi dan sesi pendekatan mereka.

Melalui konsultasi bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sebelum rang undang-undang itu dibentangkan, tiga persatuan itu telah berkongsi keprihatinan nyata dan praktikal tentang bagaimana undang-undang baru itu boleh menjejas proses kerja dan juga penggunaan telefon bimbit oleh pekerja platform bagi tujuan navigasi, tempahan tugas dan komunikasi bersama pelanggan.

Justeru, mereka mengalu-alukan penjelasan bahawa penggunaan telefon yang dipasang pada alat pemegang tidak terjejas, sekali gus memberikan jaminan lebih besar kepada pemandu dan penunggang di samping menyokong matlamat bersama bagi jalan raya yang lebih selamat.

Dalam pada itu, terdapat pertanyaan juga bagaimana undang-undang baru itu menjejas mereka yang mempunyai penyakit kronik dan perlu mengambil ubat preskripsi, kata Dr Wan Rizal.

Selain undang-undang lebih tegas bagi penggunaan telefon semasa memandu, rang undang-undang yang diluluskan itu juga menetapkan bahawa ia kini menjadi satu kesalahan jika seseorang memandu atau cuba memandu dengan adanya dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif yang dikesan dalam spesimen darah.

Ini tanpa memerlukan bukti bahawa dia dalam keadaan terganggu ketika memandu.

“Secara lebih meluas, mereka yang bergantung pada memandu untuk mata pencarian mereka mahukan jaminan bahawa peraturan berkenaan akan disampaikan dengan jelas dan dilaksanakan dengan adil,” kata Dr Wan Rizal.

“Bagi pemandu dan penunggang kita, kenderaan dan jalan raya adalah tempat kerja mereka, dan lesen adalah mata pencarian mereka.

“NDCA, NPHVA dan NTA akan mempertingkat usaha untuk memastikan syarat-syarat baru disampaikan dengan lebih jelas, supaya pemandu dan penunggang kita boleh menyesuaikan diri dengan yakin dan terus mencari rezeki dengan selamat,” tambah beliau.