Topik diikuti
Pergi ke BHkuForbes Asia senarai 15 syarikat S’pura dalam ‘100 untuk Dipantau’ 2026
Majalah perniagaan, Forbes Asia, mengeluarkan edisi keenam senarai tahunan ‘100 To Watch’ (100 untuk Dipantau) pada 25 Ogos yang menampilkan 15 syarikat Singapura.
Senarai tersebut merupakan kompilasi perniagaan kecil dan syarikat pemula yang kian meningkat naik di rantau Asia Pasifik.
Singapura mencatatkan jumlah syarikat kedua terbesar yang tersenarai selepas India, yang mendahului dengan 19 syarikat.
Syarikat tempatan yang tersenarai dalam Forbes Asia merangkumi pelbagai industri, termasuk Neptune Robotics daripada sektor robotik, serta MediSun Planet dan Skye Renewables daripada sektor tenaga dan teknologi hijau.
Selain itu, syarikat Baskit dan Eezee mewakili industri e-dagang dan runcit, manakala ChemT Biotechnology dan Gero pula daripada sektor bioteknologi dan penjagaan kesihatan.
Baki lapan syarikat merangkumi sektor teknologi perusahaan, iaitu Level3AI, Pollen Tech, Metroo, Pollo AI, ReN3, Saltmine, Sapiens Technology dan SynaXG Technologies.
China menduduki tempat ketiga dengan 10 syarikat dalam senarai itu, manakala Jepun dan Korea Selatan masing-masing menyumbang sembilan syarikat.
Indonesia dan Australia pula masing-masing mempunyai lapan syarikat dalam senarai berkenaan.
Secara keseluruhan, syarikat yang tersenarai telah mengumpul dana berjumlah AS$2.4 bilion ($3 bilion) setakat ini – merangkumi hampir AS$1 bilion yang diraih pada 2026 setakat ini.
Kesemua syarikat yang tersenarai mempunyai ibu pejabat di Asia Pasifik, merupakan entiti privet berasaskan keuntungan, serta mencatatkan pendapatan tahunan tidak melebihi AS$50 juta dengan jumlah keseluruhan dana tidak melebihi AS$100 juta setakat 15 Ogos.
Hampir satu perempat daripada penyertaan tersebut merupakan syarikat teknologi perusahaan yang menawarkan perkhidmatan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Pollo AI, sebagai contoh, merupakan syarikat Singapura yang membantu jenama menghasilkan video pemasaran menggunakan skrip, templat dan model penjanaan AI pelbagai mod (multimodal).
Menurut Forbes Asia, satu lagi sektor yang semakin pesat berkembang ialah sektor robotik, dengan 10 syarikat berjaya tersenarai dalam ‘100 To Watch’ berkenaan.
“Sektor ini merangkumi pelbagai syarikat – daripada pembuat robot perkhidmatan bagi menyokong warga emas, hingga kepada pembangun robot khas bagi makmal penyelidikan yang dapat meringankan tugasan rutin para saintis,” tambah laporan itu.
Syarikat bioteknologi turut memanfaatkan keupayaan robotik, seperti syarikat Theranautilus dari India, iaitu pembangun nanorobot perubatan yang berfungsi di dalam badan untuk ‘menghantar’ terapi barah secara bersasar.
Syarikat teknologi hijau dan kemampanan juga terus menjadi tumpuan utama, dengan 10 daripada 100 syarikat tersebut – termasuk pengeluar bahan alternatif plastik dari Australia, Uluu – menyediakan penyelesaian bagi isu berkaitan alam sekitar.
