Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fortune senarai CEO DBS sebagai wanita paling berkuasa di Asia; Josephine Teo antara paling berpengaruh

Oct 8, 2025 | 6:21 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan (kiri), menduduki tangga teratas senarai wanita paling berkuasa di Asia menurut Fortune, manakala Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (kanan), dinamakan antara 12 ‘Wanita Paling Berpengaruh’.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan (kiri), menduduki tangga teratas senarai wanita paling berkuasa di Asia menurut Fortune, manakala Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (kanan), dinamakan antara 12 ‘Wanita Paling Berpengaruh’. - Foto ST

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan, yang mengambil alih peranan tersebut di bank itu pada 2025, muncul di tangga teratas dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di Asia oleh majalah perniagaan Fortune.

Dipilih editor Fortune berdasarkan manfaat nyata, pengaruh dan keupayaan membentuk masa depan, senarai tersebut merangkumi pemimpin wanita berpengaruh yang memanfaatkan ketidakstabilan serantau dan sejagat sebagai peluang memajukan perniagaan mereka, jelas majalah itu.

Secara berasingan, dalam senarai baru ‘Wanita Paling Berpengaruh’, Fortune menamakan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, sebagai antara 12 wanita daripada bidang dasar, budaya popular dan sukan profesional “yang menunjukkan pelbagai cara pengaruh dipamerkan di seluruh Asia-Pasifik”.

Antara nama lain dalam senarai itu ialah Gabenor Tokyo, Cik Yuriko Koike; empat anggota kumpulan K-pop Blackpink; pelakon Michelle Yeoh dan Xin Zhilei; atlet ski Olimpik Eileen G; serta pemain tenis Naomi Osaka, Zheng Qinwen dan Alexandra Eala, lapor The Straits Times (ST).

Mengenai Cik Teo, Fortune menyatakan bahawa beliau telah menerajui kemas kini rangka kerja tadbir urus kecerdasan buatan (AI) perintis Singapura – salah satu strategi AI nasional pertama di dunia.

Selain itu, Cik Teo mengutamakan pembangunan tenaga kerja yang celik AI, dengan kerjasama latihan mantap yang menempatkan lebih 2,600 karyawan dalam bidang AI, analitik data dan keselamatan siber.

Dalam peranan beliau sebelum ini sebagai Menteri Tenaga Manusia, Cik Teo melaksanakan pelan hala tuju 10 tahun untuk menaikkan umur persaraan dan pengambilan bekerja semula.

Ini selain menyokong kenaikan gaji terkumpul 30 peratus untuk pekerja penting, serta memperluas sokongan gaji bagi rakyat Singapura yang paling rentan, jelas Fortune.

Dalam pada itu, Fortune telah menamakan CEO DBS, Cik Tan, sebagai Wanita Paling Berkuasa di Asia.

Cik Tan mempunyai pengalaman lebih 15 tahun di bank terbesar Singapura itu, selepas bertugas di Morgan Stanley dan Citi.

Sebelum menggantikan mantan CEO DBS, Encik Piyush Gupta, pada Mac, Cik Tan menerajui cabang perbankan institusi bank tersebut dengan mengembangkan perniagaan dalam bidang perbankan pengguna, pengurusan kekayaan dan perbankan antarabangsa.

Dalam dunia perbankan Singapura, Cik Tan dikenali kerana tahap dedikasinya yang tinggi. 

Ketika bersalin pada 1999, beliau membawa terminal Bloomberg – sebuah sistem komputer yang digunakan untuk memantau pasaran kewangan secara masa nyata – ke hospital. 

Cik Tan mengimbau bahawa beliau “tiada pilihan” lain kerana yen Jepun ketika itu jatuh mendadak berbanding dolar Amerika Syarikat.

Ini bukan kali pertama Cik Tan mendapat pengiktirafan daripada Fortune

Beliau pernah menduduki tangga keenam dalam edisi 2025 senarai ‘100 Wanita Paling Berkuasa dalam Perniagaan’ yang diterbitkan pada Mei, dan berada di tangga ke-28 dalam senarai ‘100 Individu Paling Berkuasa dalam Perniagaan’ 2025 yang diumumkan pada Ogos.

Menduduki tempat kedua dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di Asia ialah Cik Grace Wang, pengasas bersama, pengerusi dan CEO Luxshare Precision Industry, sebuah syarikat pengeluar komponen elektronik dan komputer yang berpangkalan di Dongguan, China.

Ini diikuti oleh Cik Meng Wanzhou, timbalan pengerusi, pengerusi bergilir, dan ketua kewangan pengeluar telefon bijak China, Huawei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg