PropNex telah diletakkan di kedudukan ke-395 dalam senarai sulung Fortune Asia Tenggara 500 dan diiktiraf sebagai salah satu syarikat terbesar di rantau ini mengikut hasil pendapatan.
Edisi Asia Tenggara pertama senarai Fortune 500, yang menampilkan 84 syarikat yang berpangkalan di Singapura, turut menyenaraikan syarikat-syarikat dari tujuh negara lain termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia, Vietnam, Filipina dan Kemboja.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Gafoor, berkongsi kebanggaan PropNex di atas pengiktirafan itu dan berkata bahawa ia adalah berita yang tidak dijangka.
“Apabila kami mendapat tahu bahawa PropNex muncul di tempat ke-395 dalam senarai 500 syarikat Asia Tenggara, kami terkejut kerana pengiktirafan ini bukanlah sesuatu yang dapat kami mohon atau daftar.
“Lebih 100 syarikat Thailand dan Indonesia telah muncul dalam senarai tersebut manakala hanya 84 syarikat Singapura tersenarai.
“Ini bermakna PropNex bersaing dalam ekonomi rantau Asia Tenggara yang mempunyai populasi yang besar dan juga segmen pasaran yang besar. Pengiktirafan PropNex sebagai satu-satunya syarikat broker hartanah di seluruh rantau Asia Tenggara membuat kami gembira dan berbangga kerana dapat mewakili nama Singapura,” ujar Encik Ismail kepada Berita Harian (BH).
Pencapaian ini menunjukkan ketekalan PropNex sepanjang 24 tahun serta bagaimana ia telah dapat mengharungi cabaran landskap hartanah yang sering berubah dengan melabur dalam teknologi.
“Sebab mengapa PropNex sangat berkesan dan kadar produktiviti kami sangat tinggi adalah kerana kami mendekati perniagaan kami seperti teknologi hartanah atau ‘proptech’, iaitu persimpangan industri hartanah dengan teknologi dan perisian.
“Dalam erti kata lain, keberkesanan ejen hartanah PropNex adalah kerana syarikat kami melabur dengan banyak pada teknologi, jadi semua kakitangan jualan kami dibantu dengan teknologi dan maklumat yang dikemas kini,” tambah Encik Ismail.
Beliau turut berkongsi bahawa bahagian pasaran PropNex dari segi hartanah jual semula HDB, hartanah jual semula privet dan dan hartanah privet yang baru dilancar, adalah sebanyak 62 peratus meskipun bilangan ejen hartanah seramai 12,600 adalah kira-kira 35 peratus daripada tenaga jualan.
“Bahagian pasaran dan bilangan jurujual kami menyumbang kepada data kami yang luas yang dapat digunakan sebagai cerapan berharga untuk membantu dalam membuat keputusan berkaitan hartanah,” kata Encik Ismail.
Dalam pada itu, pengiktirafan ini mendorong beliau untuk bekerja keras demi memastikan PropNex terus berkembang dan menambah nilai.
Beliau juga berharap ia dapat memberi motivasi kepada syarikat-syarikat tempatan lain untuk menjadi lebih berdaya saing.
Lima daripada 10 syarikat teratas yang disenaraikan mengikut hasil pendapatan mereka pada tahun fiskal berakhir 31 Disember 2023 berpangkalan di Singapura.
Mereka termasuk syarikat perdagangan komoditi Trafigura, yang menduduki tempat pertama, dan Kumpulan DBS di tempat ke-10.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg