Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) antara Singapura dengan Perikatan Pasifik menyediakan wadah bagi perniagaan Singapura meneroka pasaran serta peluang baru di Amerika Latin, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, pada 7 Mei.
Berucap di majlis makan malam di Hotel Fullerton bagi meraikan penguatkuasaan FTA Perikatan Pasifik-Singapura (PASFTA) antara Singapura, Chile dengan Peru, Encik Tan berkata perjanjian itu “mewujudkan persekitaran stabil dan adil, yang penting bagi pelabur dan perniagaan kita membuat keputusan, beroperasi dengan yakin dan terus berkembang”.
Perjanjian itu akan memberi syarikat tempatan akses lebih luas ke pasaran negara di bawah Perikatan Pasifik – merangkumi Chile, Colombia, Mexico dan Peru – yang secara kolektif merupakan ekonomi kesembilan terbesar di dunia.
Menurut Bank Dunia, empat negara anggota Perikatan Pasifik itu mempunyai Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) melebihi AS$2.7 trilion ($3.5 trilion) mengikut nilai pasaran semasa, yang merangkumi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan GDP rantau Amerika Latin dan Caribbean.
PASFTA telah ditandatangani pada 26 Januari 2022.
Singapura memeterai perjanjian itu pada Julai 2022; diikuti Peru pada Februari 2023; dan Chile pada Mac 2025, sekali gus menguatkuasakan PASFTA bagi ketiga-tiga negara itu terlebih dahulu.
PASFTA akan mula berkuat kuasa bagi Colombia dan Mexico, sebaik sahaja kededua negara itu menyelesaikan prosedur memeterai perjanjian tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Encik Tan, selain PASFTA, Singapura dan rakan dagang di Amerika Latin juga sedang bekerjasama dalam perjanjian pengelakan cukai dua kali, serta rangka kerja bagi memudahkan perdagangan digital dan kerjasama dalam bidang ekonomi hijau.
“Usaha-usaha ini sedang dijalankan bagi terus memperluas rangkaian perjanjian yang menyokong perdagangan antara Singapura dengan Amerika Latin,” katanya.
FTA itu akan menghapuskan kebanyakan tarif ke atas barangan yang diperdagangkan antara negara rakan dagang tersebut, dan meningkatkan kecekapan dalam proses prosedur kastam.
Pembekal perkhidmatan dan pelabur Singapura akan diberi layanan setara dengan mereka daripada Perikatan Pasifik.
Selain itu, syarikat Singapura tidak diperlukan untuk melantik individu warga negara tertentu bagi jawatan pengurusan kanan.
Singapura juga adalah rakan dagang Chile dan Mexico melalui Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) sedia ada, dan merupakan rakan dagang Peru melalui CPTPP dan FTA dua hala Peru-Singapura.
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), perdagangan dua hala Singapura dengan Perikatan Pasifik pada 2024 berjumlah $12.5 bilion.
Beberapa produk utama yang diperdagangkan termasuk mesin elektrik, produk logam halus, produk koko dan makanan laut.
Sekitar 100 syarikat Singapura sudah beroperasi di pasaran Perikatan Pasifik, kebanyakannya dalam sektor seperti teknologi dan ekonomi digital, perdagangan makanan, pembangunan prasarana, serta pengurusan pelabuhan dan logistik.
Golongan pakar percaya peningkatan akses ke pasaran yang agak baru itu sangat penting bagi syarikat Singapura pada waktu ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat, bertindak negatif terhadap sistem perdagangan sejagat yang dibangunkannya selepas Perang Dunia Kedua.
Di tengah-tengah pergolakan itu, Singapura telah berikrar untuk terus mengukuhkan hubungan pelbagai hala dan perdagangan bebas, serta mencari peluang baru bagi syarikat tempatan di pasaran yang kurang diterokai.
PASFTA – yang merupakan FTA Singapura ke-28 – adalah perjanjian menyeluruh mengandungi 25 bab, termasuk perdagangan barang, perkhidmatan dan pelaburan, perusahaan kecil dan sederhana (SME), amalan pengawalseliaan yang baik untuk perdagangan dan pelaburan, serta perdagangan elektronik.
Ia juga merupakan FTA pertama Singapura yang mempunyai bab mengenai perkhidmatan pengangkutan maritim antarabangsa.
Di samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan hubungan fizikal antara negara rakan dagang dan memudahkan pertukaran amalan terbaik serta peluang latihan.
“
“(Perjanjian itu) mewujudkan persekitaran stabil dan adil, yang penting bagi pelabur dan perniagaan kita membuat keputusan, beroperasi dengan yakin dan terus berkembang... Usaha-usaha ini sedang dijalankan bagi terus memperluas rangkaian perjanjian yang menyokong perdagangan antara Singapura dengan Amerika Latin.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg