Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tindakan Iklim: Sungai, tasik boleh cegah kehilangan 25 peratus GDP Asia Tenggara jelang 2050

Laporan terbitan Forum Ekonomi Dunia, SIF gesa usaha pertingkat langkah perlindungan daripada taufan, kenaikan paras laut dan gelombang haba
Jun 23, 2025 | 5:37 PM
Dalam usaha menangani perubahan iklim, penyesuaian sering kali dianggap sebagai adik tiri yang terpinggir berbanding mitigasi atau usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam usaha menangani perubahan iklim, penyesuaian sering kali dianggap sebagai adik tiri yang terpinggir berbanding mitigasi atau usaha mengurangkan pelepasan karbon. - FOTO: AFP

Kesan perubahan iklim dijangka meragut sehingga 25 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Asia Tenggara menjelang 2050.

Namun, kerugian ini boleh dielakkan sekiranya negara-negara di rantau ini memanfaatkan sungai yang berliku dan tasik yang indah sebagai sebahagian daripada jalan penyelesaian, menurut satu laporan baru, lapor The Straits Times (ST).

Justeru, sudah tiba masanya bagi mempertingkatkan langkah perlindungan daripada taufan yang dahsyat, kenaikan paras laut dan gelombang haba, dengan air dilihat sebagai titik permulaan yang sesuai untuk usaha penyesuaian, jelas laporan yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia dan Yayasan Antarabangsa Singapura.

Kira-kira 90 peratus daripada semua kejadian cuaca ekstrem berkait dengan air, yang turut memburukkan lagi risiko iklim lain.

Kandungan wap air yang lebih banyak di ruang udara pula bertindak sebagai bahan bakar bagi ribut yang lebih dahsyat, manakala gelombang haba dan kebakaran hutan sering dikaitkan dengan kemarau.

Asia Tenggara perlu segera bersedia menghadapi kesan perubahan iklim, namun usaha penyesuaian ini masih kurang diberi keutamaan dan sokongan, tambah laporan yang dikeluarkan pada 23 Jun itu.

Menurut laporan itu lagi, salah satu halangan utama adalah kesukaran memahami konsep penyesuaian, yang sering dianggap terlalu umum dan menyeluruh.

Penyesuaian iklim melibatkan perlindungan terhadap manusia daripada kesan perubahan iklim, seperti membina tembok pemisah antara laut dengan darat, bagi menghalang kenaikan paras air laut, serta mewujudkan pusat penyejukan berhawa dingin semasa gelombang haba.

“Oleh kerana ia sukar diukur, pulangan pelaburan dalam penyesuaian iklim juga sukar untuk ditentukan,” jelas laporan itu.

Laporan ini bertujuan untuk mengubah tanggapan terhadap penyesuaian dengan menekankan kepentingannya serta menganggarkan pelaburan yang diperlukan.

Sebagai contoh, pelaburan kira-kira AS$13 bilion ($16.7 bilion) diperlukan menjelang 2030 bagi memperkukuh daya tahan dan usaha penyesuaian Asia Tenggara terhadap pelbagai jenis banjir, di samping kaedah sedia ada seperti sistem pengairan dan kawalan aliran air ribut.

“Perniagaan dan pelabur mempunyai kepentingan langsung dalam menyokong strategi penyesuaian ini. Ia dapat mengurangkan pendedahan kepada risiko dan memastikan kelangsungan perniagaan apabila krisis melanda,” kata laporan itu.

Dalam tindakan iklim, penyesuaian selama ini sering dilupakan berbanding mitigasi atau pengurangan pelepasan karbon.

Namun, ia kini semakin mendapat perhatian dalam beberapa bulan kebelakangan ini, susulan kesan perubahan iklim yang semakin teruk. Pada 2024, suhu sejagat telah melepasi 1.5 darjah Celsius ke atas berbanding zaman praperusahaan buat julung-julung kalinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg