Gan: MAS teroka guna modal permulaan untuk pasaran ekuiti
Gan: MAS teroka guna modal permulaan untuk pasaran ekuiti
Pengumpulan modal komersial secara berterusan boleh rangsang minat pasaran, pastikan kecairan dagangan kekal di SGX
Kumpulan semakan pasaran ekuiti Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang mengkaji cara menggunakan modal permulaan dengan sebaiknya untuk menarik lebih banyak modal komersial.
Ini akan memastikan bahawa modal pembangunan pemerintah digunakan dengan sebaiknya dari segi kewangan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Beliau berkata demikian pada majlis ulang tahun ke-25 Kumpulan Bursa Singapura (SGX) pada 2 Januari, bersamaan dengan hari pertama dagangan 2025, lapor The Business Times.
“Walaupun ada cadangan untuk menggunakan dana negara dalam pasaran ekuiti kita, ia tidak praktikal untuk bergantung hanya pada dana tersebut untuk menyokong pasaran ekuiti dan memastikan dana ini berterusan,” tambahnya.
Encik Gan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya mencadangkan agar modal komersial dapat dimanfaatkan secara berterusan – seperti institusi kekayaan, pelabur individu dan pejabat keluarga – sebagai langkah utama untuk merangsang minat pasaran dan mengekalkan kecairan dagangan.
Beliau juga menekankan pentingnya memperluas kecairan, terutama untuk syarikat kecil dengan permodalan pasaran antara $500 juta dengan $3 bilion.
Cadangan itu dibuat ketika kumpulan semakan mengkaji dari pelbagai sudut – permintaan, penawaran dan ekosistem – sebagai sebahagian daripada semakan menyeluruhnya.
Ditubuhkan pada Ogos 2024, kumpulan itu dipengerusikan oleh Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, bagi mengusulkan langkah memajukan pasaran ekuiti Singapura, termasuk pemegang kepentingan sektor swasta dan awam.
Prestasi pasaran ekuiti tempatan pada 2024 dikatakan tidak stabil.
Walaupun Indeks Straits Times mencatat prestasi terbaik sejak 2017, pasaran terkesan dengan kekurangan penyenaraian baru akibat ketidakpastian ekonomi sejagat, kadar faedah tinggi dan persaingan dari bursa serantau serta kaedah pengumpulan dana alternatif.
Pengerusi SGX, Encik Koh Boon Hwee, berkata pada majlis tersebut bahawa menangani isu struktur dan dasar memerlukan kerjasama antara SGX, pembuat dasar, pengawal selia, dengan pihak berkepentingan.
“Reformasi dasar untuk menarik kecairan atau perubahan dalam pengawalseliaan memerlukan keberanian, kesediaan untuk mengambil risiko serta komitmen bersama untuk perubahan,” tambahnya, menekankan pentingnya tindakan “berani dan tegas” oleh semua pihak.
Encik Gan juga berkata kumpulan semakan sedang berusaha menjadikan pasaran ekuiti Singapura sebagai destinasi menarik untuk syarikat pertumbuhan sederhana yang sering diabaikan oleh bursa besar di Amerika Syarikat, China dan Jepun.
“Dengan menetapkan profil syarikat yang kami mahu ‘tarik’, kami dapat merancang insentif untuk menarik syarikat dan pengurus dana melabur di pasaran ekuiti tempatan,” katanya.
Encik Gan turut menyeru agar rangka kerja pengawalseliaan disemak bagi memastikan ia tidak menimbulkan “salah faham yang tidak perlu”, sebaliknya memberi kuasa kepada syarikat yang baik disenaraikan dan membolehkan pengguna membuat keputusan pelaburan yang tepat.
Beliau menyebut bahawa terdapat maklum balas yang menyatakan bahawa sistem pengawalseliaan sekarang mungkin terlalu menyekat syarikat tersenarai dan terlalu melindungi pelabur, dengan sesetengah pihak mengkritik kerugian yang dialami pelabur akibat salah laku pasaran sebelum ini.

