Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan Optus: Singtel mungkin didenda Australia

Sep 25, 2025 | 4:30 PM
Optus, Singtel
Menteri Komunikasi Australia, Cik Anika Wells, telah meminta untuk berbincang dengan Singtel apabila delegasi syarikat itu berada di Australia dalam masa beberapa hari akan datang. - Foto AFP

SYDNEY: Menteri Komunikasi Australia, Cik Anika Wells, meminta Singtel menghadiri mesyuarat menyusuli satu gangguan serius di Optus, firma telekomunikasi di negara itu yang juga subsidiari Singtel, dan memberi amaran kemungkinan denda besar dikenakan akibat kesilapan itu.

Cik Wells berkata beliau telah meminta untuk berbincang dengan Singtel apabila delegasi syarikat itu berada di Australia dalam masa beberapa hari akan datang.

“Ini sentiasa menjadi perhatian saya,” katanya kepada Australian Broadcasting Corp pada 25 September. “Pertemuan dengan Singtel adalah langkah penting.”

Permintaan Cik Wells itu telah meningkatkan tekanan terhadap Singtel agar mengambil tindakan, selepas berlakunya gangguan kepada panggilan kecemasan pada 18 September di Australia yang telah mengakibatkan empat kematian. 

Kegagalan akibat naik taraf rangkaian yang tidak berjalan lancar itu telah mencetuskan krisis reputasi bagi Optus, yang kini sedang berusaha mengatasi kesan daripada beberapa kesilapan.

Kejadian itu berlaku kurang dua tahun selepas insiden serupa di Optus yang menjejaskan jutaan pelanggan di serata Australia dan menyebabkan syarikat itu didenda sebanyak A$12 juta ($10 juta).

Krisis terkini menimbulkan spekulasi bahawa Optus dan Singtel gagal melabur dengan cukup dalam rangkaian Australia itu.

Ia juga menunjukkan bahawa Optus gagal melaksanakan saranan menyusuli kejadian pada 2023 itu, kata Cik Wells, sambil menambah bahawa syarikat itu “boleh menjangkakan denda yang lebih besar.”

Optus, syarikat telefon kedua terbesar di Australia, membentuk separuh daripada pendapatan syarikat induknya, Singtel.

Singtel pada 24 September berkata ia telah menyokong Optus dengan melabur lebih A$9.3 bilion dalam tempoh lima tahun sebelum ini, dengan sebahagian besar pelaburan digunakan untuk membina prasarana rangkaian di serata Australia.

Kenyataan Cik Wells dibuat selepas Mahkamah Persekutuan Australia mendenda Optus A$100 juta kerana amalan jualan yang tidak berpatutan, termasuk memberi tekanan kepada golongan kurang upaya dan yang kurang faham tentang kewangan supaya membeli produk yang mereka tidak perlukan atau tidak mampu bayar.

Optus telah cuba menguruskan krisis terkini dengan memberikan maklumat secara berterusan, sementara siasatan dalaman dijalankan untuk mengetahui punca sekitar 480 pelanggan tidak dapat menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Optus, Encik Stephen Rue, berkata pada 24 September bahawa syarikat itu sedang berusaha mencari sebab mengapa begitu ramai pemanggil tidak dapat dihubungkan dan sama ada terdapat corak kepada kegagalan itu.

Program naik taraf ‘firewall’ sepatutnya diselesaikan dalam masa dua malam, kata Encik Rue. Namun, beberapa langkah biasa tidak diikuti, dan panggilan tidak dialihkan ke bahagian lain dalam rangkaian itu seperti yang sepatutnya dilakukan, tambahnya.

Optus telah melantik eksekutif perniagaan berpengalaman, Cik Kerry Schott, untuk mengetuai semakan bebas terhadap gangguan itu bagi mengenal pasti puncanya.

Semakan beliau juga akan menilai pengurusan operasi panggilan Triple Zero dalam rangkaian Optus, dan tindak balas Optus terhadap insiden itu. 

Semakan itu dijangka selesai sebelum akhir 2025 dan lembaga pengarah Optus akan mendedahkan laporan itu kepada orang ramai selepas mempertimbangkan dapatannya, kata syarikat itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg