Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GenZero Temasek antara 4 projek raih kontrak bagi imbang pelepasan karbon

Projek di Ghana antara yang dijangka jana keseluruhan 2.175j kredit karbon bagi imbangi jumlah pelepasan sama di S’pura
Sep 16, 2025 | 4:40 PM
Temasek, GenZero, pelepasan karbon, kredit karbon, Ghana
Pada Jun 2023, GenZero menandatangani Memorandum Persefahaman dengan pembangun projek, AJA Climate Solutions, untuk melabur sekitar $38.35 juta bagi projek pengurangan pelepasan karbon. Projek di Ghana itu menyasarkan untuk menyerap hingga 33.5 juta tan karbon dioksida sepanjang projek tersebut dijalankan dengan memulihkan 51,000 hektar tanah yang terhakis. - Foto GENZERO

Sebuah projek karbon di Ghana, yang menerima pelaburan daripada unit pelaburan Temasek yang menumpukan pada penyahkarbonan, Genzero, adalah antara empat projek yang meraih kontrak daripada pemerintah Singapura untuk mengimbangi pelepasan karbon negara.

Projek di Ghana itu menyasarkan untuk menyerap hingga 33.5 juta tan karbon dioksida sepanjang projek tersebut dijalankan dengan memulihkan 51,000 hektar tanah yang terhakis melalui penanaman pelbagai jenis pokok, pertanian hutan dan penanaman semula spesies tanaman asli secara mampan.

Pada Jun 2023, GenZero telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan pembangun projek, AJA Climate Solutions, untuk melabur AS$30 juta (sekitar $38.35 juta).

Tiga projek lain ialah:

  1. Projek pemulihan padang rumput di Paraguay melalui amalan pengurusan mampan;
  2. Program perlindungan hutan di Taman Negara Yanachaga Chemillen dan Hutan Perlindungan San Matias-San Carlos di Peru; serta
  3. Satu lagi program perlindungan hutan di wilayah Madre De Dios, Peru.

Keempat-empat projek itu dijangka menjana keseluruhan 2.175 juta kredit karbon, yang akan digunakan untuk mengimbangi jumlah pelepasan karbon yang sama di Singapura, lapor The Business Times (BT).

Ini merupakan sebahagian daripada usaha mencapai sasaran iklim Singapura 2030 – dikenali sebagai sumbangan yang ditentukan negara – bagi mengurangkan pelepasan karbon kepada kira-kira 60 juta tan.

Anggaran kos bagi 2.175 juta kredit karbon itu ialah sekitar $76 juta yang akan digunakan sepanjang 2026 hingga 2030, demikian menurut kenyataan media bersama Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) serta Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS) pada 16 September.

Singapura melancarkan tawaran usulan berkaitan pembelian kredit karbon berasaskan alam semula jadi pada September 2024.

Apabila tender ditutup pada Februari, ia menerima bidaan lebih $1.3 bilion daripada keseluruhan 17 penyerahan.

Menurut MTI dan NCCS, penyelesaian berasaskan alam semula jadi di peringkat dunia berpotensi menawarkan pengurangan pelepasan karbon bersamaan lebih daripada 10 gigaton karbon dioksida setiap tahun.

Singapura melalui tender ini berhasrat mengenal pasti projek dari seluruh dunia yang boleh menjana kredit berasaskan alam semula jadi bermutu tinggi dan mempunyai integriti alam sekitar yang tinggi.

Ciri utama keempat-empat projek itu termasuk memastikan manfaat tambahan yang jelas, ketahanan jangka panjang, faedah sampingan bagi masyarakat sekeliling, serta risiko pelepasan karbon tambahan di tempat lain yang rendah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg