Singapura dan Ghana sedang meneroka kerjasama lebih kukuh, termasuk pelaburan dua hala, pembangunan mampan, perniagaan tani dan inovasi kewangan seperti teknologi kewangan atau fintech dan pembayaran rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Ini berikutan pertemuan antara Presiden Tharman Shanmugaratnam dengan Presiden Ghana, Encik John Dramani Mahama, pada 27 Ogos, di mana kedua-dua pemimpin mengesahkan perhubungan mesra antara Singapura dengan Ghana.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 27 Ogos berkata kedua-dua pemimpin turut saling bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi Afrika dan Ghana termasuk pembaharuan fiskal dan tugas mendesak untuk mewujudkan pekerjaan.
Presiden Mahama kini berada di Singapura dari 26 hingga 28 Ogos untuk lawatan negara atas undangan Tuan Presiden. Ia juga merupakan lawatan pertamanya ke Singapura.
Pada 27 Ogos, Presiden Mahama menerima sambutan istiadat dan turut diundang ke Majlis Jamuan Negara sebagai penghormatan ke atasnya oleh Tuan Presiden yang menjadi tuan rumah majlis tersebut.
Presiden Mahama juga bertemu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan mereka membincangkan kerjasama dalam pembangunan kapasiti serta peluang untuk mengembangkan aliran perdagangan dan pelaburan dua hala.
Ia termasuk mempercepatkan rundingan berterusan mengenai Perjanjian Pelaburan Dua Hala dalam kredit karbon dan ekonomi hijau.
“Akur bahawa Ghana adalah negara pertama di Afrika Sub-Sahara yang telah memeterai Perjanjian Pelaksanaan Kredit Karbon dengan Singapura, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk membina asas itu dan memajukan kerjasama dalam ekonomi hijau.
“Mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan sejagat dan serantau, termasuk kepentingan multilateralisme (fahaman pelbagai hala), dan keselamatan serantau,” kata MFA.
Encik Wong dan Presiden Mahama turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU) pada 27 Ogos mengenai perundingan dua hala dan pembinaan kapasiti dalam menggalak pelaburan.
Presiden Mahama juga melawat Kebun Orkid Negara pada 27 Ogos.
Anggerik hibrid terkini, Vanda John Dramani Mahama, turut dinamakan sempena nama beliau sebagai penghormatan ke atasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg