Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura meterai perjanjian kredit karbon dengan Thailand

Aug 19, 2025 | 5:48 PM
Thailand, Singapore, hubungan diplomatik
Satu pameran bunga di Gardens by the Bay dilancarkan baru-baru ini bagi memperingati hubungan diplomatik selama 60 tahun antara Singapura dengan Thailand. - Foto ST

Thailand kini menjadi negara Asia Tenggara pertama memuktamadkan perjanjian perdagangan karbon dengan Singapura.

Ia membuka jalan kepada negara ini membeli kredit karbon yang dihasilkan di Thailand.

Perjanjian dua hala tersebut membolehkan pemerintah Singapura atau syarikat yang dikenakan cukai karbon di Singapura membeli kredit karbon yang layak di Thailand untuk mengimbangi sebahagian pelepasan yang memanaskan bumi.

Perjanjian pelaksanaan tersebut ditandatangani pada 19 Ogos oleh Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Encik Chalermchai Sri-on, di luar Forum Perniagaan Serantau Singapura (SRBF) yang ke-9.

Acara tahunan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) itu menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan terkemuka, pegawai kanan pemerintah dan pihak berkepentingan lain untuk meneroka peluang perniagaan di rantau ini.

Ini adalah perjanjian pelaksanaan kelapan yang dimeterai Singapura setakat ini.

Tujuh negara lain yang mempunyai perjanjian serupa dengan Singapura ialah Papua New Guinea, Ghana, Bhutan, Peru, Chile, Rwanda dan Paraguay, lapor The Straits Times (ST).

Di bawah Perjanjian Paris – satu perjanjian antarabangsa yang diterima oleh 195 negara bagi mengurangkan pemanasan sejagat – setiap negara boleh membeli kredit karbon yang dihasilkan di negara lain untuk memenuhi sasaran iklim domestik masing-masing.

Pasaran karbon akan memberi manfaat kepada pembeli kredit karbon, kerana membeli kredit dari negara lain kadangkala lebih murah berbanding mengurangkan pelepasan karbon melalui usaha sendiri.

Negara yang menjayakan projek karbon turut meraih manfaat, kerana projek mesra iklim itu menjadi satu lagi sumber pendapatan negara.

Perjanjian pelaksanaan ialah satu dokumen yang mengikat secara undang-undang dan mengawal pemindahan kredit karbon antarabangsa antara dua negara.

Satu ciri penting dalam perjanjian itu adalah bagi mengelakkan pengiraan berganda, iaitu keadaan dengan kedua-dua negara pembeli dan negara tuan rumah mengira pengurangan atau penyingkiran pelepasan karbon yang sama ke arah mencapai sasaran masing-masing.

Negara tuan rumah yang menjalankan projek kredit karbon mesti bersetuju membuat “pelarasan sepadan” dengan menambah jumlah pelepasan yang dijual ke dalam inventori nasionalnya.

Satu kredit karbon mewakili satu tan karbon dioksida yang disingkirkan dari atmosfera, seperti melalui projek pemulihan ekosistem, atau dihalang daripada dilepaskan ke atmosfera, contohnya dengan memelihara kawasan hutan daripada gejala pembalakan.

Kredit karbon juga boleh diraih dengan menggantikan dapur kayu terbuka kepada dapur lebih bersih.

Kredit yang digunakan untuk mengimbangi pelepasan nasional Singapura hanya boleh dibeli daripada projek di negara yang mempunyai perjanjian pelaksanaan dengan Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg