Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GIC akan terus pelbagaikan pelaburan bagi nilai jangka panjang stabil

Pendekatan tersebut diambil bagi mengelak kerugian kekal.
Jul 25, 2025 | 4:39 PM
GIC, ekonomi, pelaburan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GIC, Encik Lim Chow Kiat, berkata bahawa pengaruh yang membentuk persekitaran pelaburan global masa kini tidak terbatas kepada kitaran pasaran atau trend struktur.  - Foto ST

Dana kekayaan milik pemerintah Singapura, GIC, menyatakan bahawa ia akan terus mempelbagaikan pelaburannya merentasi kelas aset, geografi, sektor dan masa.

Ia akan turut bertindak dengan tangkas dalam usaha mencapai pulangan jangka panjang yang stabil dengan mengambil kira kesan inflasi.

Pendekatan pelaburan tersebut menjadi semakin penting di tengah-tengah perubahan dalam landskap pelaburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut GIC, yang mengurus rizab asing Singapura.

Membentangkan laporan tahunan 2024-2025 GIC pada 24 Julai, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GIC, Encik Lim Chow Kiat, berkata pengaruh yang membentuk persekitaran pelaburan global masa kini tidak terbatas kepada kitaran pasaran atau trend struktur.

Perkembangan tersebut menjejas asas aturan dunia dan “menulis semula peraturan pelaburan sedunia”, katanya dalam satu surat kepada pihak berkepentingan.

“Hari ini, pengaruh ini semakin memuncak dan lebih sukar untuk membuat persiapan bagi menghadapinya,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, dengan perubahan besar tersebut, memang mudah untuk tertarik kepada pulangan pelaburan jangka pendek, atau mengambil pendekatan terlalu berhati-hati dalam menghadapi ketidaktentuan.

“Di GIC, kami mengelakkan kedua-dua pendekatan tersebut. Kami memberi tumpuan kepada nilai jangka panjang, dengan menekankan (pentingnya) mengelakkan kerugian kekal,” katanya.

Pada masa yang sama, perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) memberi peluang kepada GIC untuk mempelbagaikan pelaburan merentasi pasaran dan aset.

Di samping itu, GIC turut menggunakan pendekatan lebih terperinci dan tangkas dalam membuat keputusan pelaburan bagi memastikan pulangan jangka panjang yang sebenar, lapor The Straits Times (ST).

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, dana tersebut mencatat kadar pulangan sebenar sebanyak 3.8 peratus setahun bagi tempoh 20 tahun, secara purata.

GIC mengukur portfolionya dalam dolar Amerika Syarikat.

Bagi mendapatkan pulangan sebenar, ia melaras nilai pulangan pelaburan dengan mengambil kira kadar inflasi global, yang dikira berdasarkan sekumpulan mata wang.

Pulangan tersebut lebih rendah berbanding 3.9 peratus yang dilaporkan pada 2024.

“Pulangan jangka panjang kami kekal stabil, walaupun sejak beberapa tahun lalu, gabungan pelbagai faktor telah menjejas prestasi ini,” kata Encik Lim.

Laporan GIC itu menyatakan walaupun perubahan dasar Amerika berkaitan tarif, imigresen dan perbelanjaan pemerintah telah menjejas sentimen pasaran, kesan sebenar dasar baru itu masih belum jelas.

Bagaimanapun, kebanyakan senario menggambarkan kemungkinan inflasi meningkat, dan kemelesetan ekonomi yang lebih berkemungkinan berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg