Pasaran saham Singapura menyaksikan penyenaraian terbesar dalam tempoh lapan tahun melalui Dana Amanah Pelaburan Hartanah (Reit) yang berteraskan pusat data pada 14 Julai.
Ini kali pertama Reit yang berteraskan pusat data sedemikian disenarai dalam bursa saham.
Bernilai AS$773 juta ($990.499 juta), Reit NTT DC disokong oleh Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) dan gergasi telekomunikasi Jepun, NTT Group, jelas laporan The Straits Times (ST).
Ia dijangka memberi rangsangan yang amat diperlukan kepada Bursa Singapura (SGX), yang menyaksikan minat yang kurang memberangsangkan terhadap penyenaraian utama dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini.
Pusat data merupakan kawasan pertumbuhan luar biasa, susulan keperluan sejagat untuk menyimpan jumlah data digital yang besar dan menjalankan alat kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan tenaga intensif.
Dagangan dalam Reit NTT DC dalam dolar Amerika bermula pada 2 petang – dibuka pada AS$1.02 seunit berbanding harga tawaran AS$1 seunit.
Ia penyenaraian terbesar di SGX sejak 2017, apabila syarikat rangkaian gantian berpusat NetLink NBN Trust menjana AS$1.8 bilion.
Perniagaan pusat data sejagat NTT GDC di bawah NTT Group merupakan penyedia pusat data ketiga yang terbesar di dunia, menurut prospektus Tawaran Awam Awal (IPO).
Terdapat enam pusat data operasi di bawah NTT Group yang terletak di Amerika Syarikat, Austria dan Singapura, yang secara keseluruhannya bernilai sekitar AS$1.57 bilion.
Perdagangan Reit NTT DC menyusul empat hari selepas IPO ditutup dengan sokongan jitu.
Ia menawarkan 599.89 juta unit secara keseluruhan, dengan lebih kurang 569.9 juta unit bagi pelabur institusi dan antarabangsa, dan 30 juta unit untuk khalayak awam di Singapura.
NTT Group kekal sebagai pemegang kepentingan terbesar Reit itu dengan 25 peratus kepentingan, diikuti oleh GIC, yang mempunyai 9.8 peratus kepentingan.
Ini sedang Singapura menjadi hab terkemuka bagi pusat data di Asia, dengan lokasi strategik di persimpangan laluan kabel dasar laut menyediakan ketersambungan bagi rantau ini dan rantau lain.
Dari 2024 hingga 2027, kuasa yang digunakan oleh pusat data dijangka meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 27.5 peratus, berikutan pertumbuhan ketara sejak lima tahun kebelakangan ini tambah prospektus tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg