GIC labur dalam wadah ruang kerja AI Notion melalui penjualan saham pekerja AS$270j
GIC labur dalam wadah ruang kerja AI Notion melalui penjualan saham pekerja AS$270j
Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura, GIC, buat kali pertama melabur dalam syarikat ruang kerja kecerdasan buatan (AI), Notion, dengan membeli saham melalui tawaran tender privet bersama beberapa nama besar lain – termasuk pelabur sedia ada, Sequoia Capital dan Index Ventures.
Tawaran tender itu bernilai AS$270 juta (sekitar $341.98 juta) dan dibuat berdasarkan penilaian sebanyak AS$11 bilion.
Saham itu dijual oleh pekerja Notion yang masih berkhidmat serta bekas pekerja syarikat tersebut.
Notion berkata GIC merupakan “pilihan jelas” sebagai rakan pelaburan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Januari.
“Salah satu sebab kami begitu teruja untuk bekerjasama dengan GIC ialah kerana kepakaran mereka dalam menyokong pertumbuhan di Asia-Pasifik (Apac) dan seluruh dunia, selain komitmen jangka panjang mereka.
“Mereka merancang untuk beberapa dekad akan datang, bukan sekadar suku tahunan,” kata syarikat itu.
Pelaburan GIC itu dibuat menyusuli pembukaan pejabat Notion di Singapura pada pertengahan 2025, sebagai sebahagian usaha pertumbuhan serantau.
Langkah itu menyusuli pembukaan pejabat Notion lain di Tokyo, Seoul dan Sydney.
Dalam satu hantaran di LinkedIn, pengasas bersama Notion, Encik Akshay Kothari, berkata pekerja sedia ada dan bekas pekerja syarikat ruang kerja sejagat itu berpeluang menjual sebahagian saham yang telah diberi hak milik kepada mereka.
Beliau menambah, syarikat itu telah menghapuskan tempoh menunggu satu tahun untuk opsyen saham, justeru hampir semua pekerja Notion dapat menyertai tawaran tender bagi menjual saham mereka kepada GIC.
Encik Kothari turut menekankan bahawa perniagaan Notion “berkembang dengan pesat” di Apac, sekali gus mengukuhkan peranan GIC sebagai rakan kongsi penting dalam sektor tersebut.
Menurut kenyataan itu, kadar pertumbuhan pesat Notion dapat dipacu hasil penggunaan AI dalam platform tersebut.
“Pada akhir 2025, lebih 50 peratus pendapatan tahunan berulang datang daripada pelanggan yang menggunakan AI, dan peratusan itu meningkat lebih dua kali ganda sepanjang 2025,” jelas kenyataan itu.
Notion merupakan ruang kerja digital yang menawarkan fungsi yang mudah disesuaikan mengikut keperluan pengguna, serta menggabungkan fungsi pengambilan nota, pangkalan data dan pengurusan projek dalam satu wadah.
Wadah ini digunakan oleh syarikat dan individu untuk menyelaras operasi mereka, lazimnya bagi memudahkan pengurusan kerja seperti penetapan matlamat, penjejakan status dan pengurusan tugasan.

