Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GIC rugi $279j lepaskan pegangan 50% dalam pusat beli-belah di UK

Nov 13, 2024 | 12:04 PM
Pusat beli-belah Westquay kini dimiliki sepenuhnya oleh Hammerson, sebuah amanah pelaburan hartanah yang berpusat di London.
Pusat beli-belah Westquay kini dimiliki sepenuhnya oleh Hammerson, sebuah amanah pelaburan hartanah yang berpusat di London. - Foto BT

Dana kekayaan negara GIC telah menjual pegangan 50 peratusnya dalam pusat beli-belah Westquay di United Kingdom (UK) pada harga 135 juta paun ($231.5 juta).

Membandingkan harga jualan dengan harga pembelian asal 299 juta paun pada tahun 2007 menunjukkan kerugian sebanyak 164 juta paun ($279.6 juta).

Pembelinya ialah Hammerson, sebuah amanah pelaburan hartanah yang berpusat di London, yang mengumumkan pembelian itu. Dengan penjualan GIC, Hammerson kini mempunyai pemilikan penuh pusat beli-belah itu.

Ini menyusuli penjualan GIC ke atas satu lagi pusat beli-belah di UK. Pada Jun, GIC menjual pegangan 17.5 peratus dalam Pusat Beli-Belah Bluewater di Kent kepada pemaju hartanah Land Securities Group (Landsec) pada harga 120 juta paun – diskaun lebih 60 peratus berbanding 318 juta paun yang dibayarnya pada 2005.

The Business Times melaporkan bahawa pendapatan yang diterima GIC daripada kedua-dua aset tersebut selama bertahun-tahun mengimbangi jumlah kerugian yang dialaminya.

Dengan keluasan 1.8 juta kaki persegi, Bluewater adalah pusat beli-belah kelima terbesar di UK.

Menurut Colliers, pusat beli-belah ini terletak di kawasan yang mempunyai sekitar 3.8 juta penduduk yang membelanjakan sekitar 8.8 bilion paun - sekitar 8.1 peratus daripada perbelanjaan itu dibelanjakan di pusat belah itu.

Sekitar 23 juta pengunjung mengunjungi pusat tersebut setiap tahun.

Laporan pendapatan tahun kewangan 2023 Hammerson menunjukkan, pusat beli-belah Westquay yang berkeluasan 94,400 meter persegi dengan 110 penyewa mendapat sewa tahunan sebanyak 13.6 juta paun.

GIC membuat penjualan yang menguntungkan juga, dengan penjualan hartanah di Fukuoka, Jepun.

GIC membeli Hawks Town – merangkumi stadium besbol, pusat beli-belah dan hotel – dengan harga sekitar 100 bilion yen ($867.3 juta).

Stadium itu dijual dengan harga 87 bilion yen, manakala pusat beli-belah tersebut dijual pada harga yang tidak didedahkan.

Dengan hotel tersebut dijual pada sekitar 70 bilion yen, penjualan keseluruhannya menguntungkan GIC.

Berdasarkan laporan tahunan terkini GIC, portfolio mereka dibina untuk “bertahan dalam pelbagai keadaan pasaran dan ekonomi, sambil menghasilkan pulangan yang baik melebihi inflasi global dalam tempoh jangka panjang.”

Dalam tempoh kewangan yang berakhir Mac 2024, GIC mencatatkan kadar pulangan sebenar tahunan 20 tahun sebanyak 3.9 peratus, turun 0.7 mata peratus berbanding 4.6 peratus tahun lalu.

GIC berkata angka yang lebih rendah mencerminkan cabaran pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan penurunan besar dalam pulangan pelaburan tetap dan ekuiti global, terutama pasaran yang sedang pesat membangun.

GIC berkata bahawa dana tersebut telah mempelbagaikan pelaburannya pada tahap yang lebih terperinci untuk meningkatkan ketahanan portfolio.  

Ini termasuk meningkatkan pelaburannya dalam infrastruktur dan hartanah, kata GIC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg