Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GIC ‘teruja’ dengan prospek niaga lebih cerah di Jepun

May 29, 2024 | 4:10 PM
GIC sedang giat mencari pelbagai peluang perjanjian perniagaan di Jepun, sedang pembaharuan tadbir urus dan berakhirnya deflasi di Jepun menjadikan pasaran di negara itu lebih menarik.
GIC sedang giat mencari pelbagai peluang perjanjian perniagaan di Jepun, sedang pembaharuan tadbir urus dan berakhirnya deflasi di Jepun menjadikan pasaran di negara itu lebih menarik. - Foto GIC

Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) melihat lebih banyak peluang berinteraksi dan menjalin kerjasama dengan syarikat Jepun bagi membantu syarikat di sana meningkatkan pulangan, menyusuli langkah pembaharuan tadbir urus di negara itu.

Syarikat dana kekayaan Singapura itu “teruja” dengan prospek cerah di Jepun, dan sedang giat mencari pelbagai peluang perjanjian perniagaan, sedang pembaharuan tadbir urus dan berakhirnya deflasi di Jepun menjadikan pasaran di negara itu kini lebih menarik.

Demikian menurut timbalan ketua pegawai pelaburan (CIO) kumpulan GIC, Encik Bryan Yeo, dalam satu temu bual di Tokyo.

“Dalam tempoh satu hingga dua tahun lepas, kami telah mengadakan lebih banyak dialog membina mengenai potensi huraian untuk mewujudkan nilai lebih baik, yang hasilnya akan menyebabkan harga saham lebih tinggi,” kata Encik Yeo.

Dalam temu bual pertamanya sejak memegang jawatan barunya itu, Encik Yeo berkata GIC merancang mengembangkan pasukan 40 kakitangannya yang meneliti perjanjian perniagaan berkaitan Jepun, menurut The Straits Times yang memetik laporan Bloomberg.

Beliau membuat ulasan tersebut menyusuli peruntukan pelaburan GIC yang berkurangan bagi Jepun sejak beberapa tahun lalu, berbanding portfolio pelaburan GIC di seluruh dunia.

Peruntukan portfolio pelaburan GIC bagi Jepun susut kepada hanya 6 peratus daripada portfolio keseluruhan GIC pada 2023, berbanding 12 peratus pada Mac 2019.

Menurut Encik Yeo, beberapa peluang perniagaan di Jepun termasuk perbincangan dengan pelbagai syarikat di Jepun untuk menjual hartanah yang kurang digunakan atau pemegangan dalam perniagaan bukan utama, kata Encik Yeo.

GIC adalah salah satu dana kekayaan negara yang terbesar di dunia.

Walaupun jumlah aset di bawah pengurusan GIC tidak didedahkan, GIC dianggarkan mempunyai aset bernilai sekitar AS$769 bilion ($1.04 trilion) dalam pegangannya, menurut firma perundingan Global SWF.

Walaupun GIC kini dilaporkan dalam proses menjual beberapa hartanah berprofil tinggi, ketua GIC di Jepun, Encik Ken Sugimoto, berkata pasaran hartanah di Jepun kini semakin cerah, dengan inflasi, gaji dan kadar faedah yang meningkat.

“Kami tidak pernah melihat (perkembangan) ini sepanjang 35 tahun lalu.

“Kami percaya pasaran hartanah Jepun sangat baik dan asasnya (juga) baik,” kata Encik Sugimoto.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg