Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GlobalFoundries beli syarikat semikonduktor S’pura dek lonjakan pusat data AI

Nov 18, 2025 | 5:01 PM
hab pembuatan semikonduktor
Langkah ini akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab pembuatan semikonduktor dan inovasi yang dipercayai serta sebagai nod kritikal dalam rantai bekalan cip global. - Foto ADVANCED MICRO FOUNDRY

GlobalFoundries (GF), salah satu pengeluar cip terbesar dunia, telah membeli Advanced Micro Foundry (AMF) dari Singapura, yang menguatkan peranan Singapura dalam sektor pusat data dan komunikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Langkah itu akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab perkilangan semikonduktor dan inovasi yang dipercayai, serta sebagai nod penting dalam rantai bekalan cip global, kata Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), yang menubuhkan AMF pada 2017.

Ini akan menjadikan GF pengeluar terbesar dunia dari segi pendapatan untuk teknologi fotonik silikon, lapor akhbar The Straits Times (ST).

GF dan A*Star turut memeterai perjanjian kerjasama penyelidikan untuk memajukan teknologi fotonik silikon.

Teknologi ini menggabungkan komponen optikal dan elektronik pada cip silikon, menggunakan cahaya (foton) untuk pemindahan data yang lebih pantas dan cekap tenaga.

Ia penting untuk mengurus set data besar yang diperlukan oleh aplikasi AI.

“Perolehan GF menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan AMF, berkembang untuk membawa inovasi fotonik silikon bertaraf dunia yang dibangunkan di Singapura ke pasaran global,” kata A*Star.

Gergasi cip dari Amerika Syarikat ini merancang menubuhkan pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan fotonik silikon di Singapura. 

Pusat itu akan bekerjasama dengan A*Star untuk memajukan inovasi GF, fokus pada bahan generasi akan datang untuk pemindahan data ultra-pantas pada kelajuan 400 Gbps.

Kerjasama itu akan meningkatkan platform fotonik syarikat untuk menyediakan penyelesaian pemindahan data yang berprestasi tinggi dan selamat kepada pelanggan di seluruh dunia, tambah GF.

GF telah membuat perjanjian dengan A*Star untuk mengakses kemudahan penyelidikan dan sokongan teknikal yang disediakan oleh agensi tersebut.

AMF, pengeluar fotonik silikon khusus pertama di dunia, mempunyai pelanggan global dan sekitar 250 pekerja.

Sementara itu, GF di Singapura mempunyai 3,800 pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif AMF, Encik Jagadish C.V., berkata: “Dengan teknologi yang saling melengkapi, kami bangga bergabung dengan pengeluar yang dipercayai dan berharap dapat memajukan teknologi fotonik silikon untuk lebih banyak pasaran dan pelanggan.”

Selain daripada pusat data, rangkaian telekomunikasi, dan pengkomputeran berprestasi tinggi, cip fotonik juga digunakan dalam peranti penderia seperti sistem pengesanan cahaya dan jarak (Lidar) untuk pemanduan autonomi dan robotik. 

Ia juga digunakan dalam pengimejan perubatan dan pengkomputeran kuantum.

GF berkata perolehan itu akan mengembangkan portfolio fotoniknya, kapasiti pengeluaran dan penyelidikan serta pembangunan di Singapura – yang melengkapkan kemampuan teknologi sedia ada di Amerika dan membuka peluang pasaran baru.

Ketua Pegawai Eksekutif GF, Encik Tim Breen, berkata fotonik penting untuk infrastruktur AI.

“Apabila data bergerak lebih pantas dan beban kerja menjadi lebih kompleks, keupayaan memindahkan maklumat dengan kelajuan, ketepatan dan kecekapan kuasa yang lebih tinggi kini menjadi asas kepada pusat data AI dan rangkaian telekomunikasi maju,” tambahnya.

GF berkata perolehan ini turut membawa aset pembuatan AMF, harta intelek yang luas dan bakat mahir.

Dengan 15 tahun pengalaman AMF, GF antara lain akan memenuhi permintaan dalam komunikasi optikal, pengkomputeran dan penderiaan melalui platform AMF di Singapura, serta merancang untuk mengembangkannya mengikut permintaan pasaran.

A*Star berkata pelaburan awal dan berterusan Singapura dalam fotonik, yang kini dilihat sebagai asas kepada sistem AI generasi akan datang, telah meletakkan Singapura sebagai nod kritikal dalam rantai bekalan semikonduktor global.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg