Pengeluar cip Jerman, Siltronic, dan syarikat Taiwan, Vanguard International, telah menandatangani perjanjian dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 21 Januari untuk membimbing serta mempersiapkan pelajar mereka bagi peranan dalam industri semikonduktor di sini.
Di bawah perjanjian itu, kededua syarikat tersebut akan menaja program Diploma Bekerja sambil Belajar (WSDip) ITE dalam bidang mikroelektronik dan kursus berkaitan lain.
Program ini menawarkan tajaan bagi latihan amali, peluang pekerjaan kepada graduan serta memberi ruang kepada syarikat rakan kongsi untuk memberi cadangan dalam pembangunan kurikulum ITE.
Menurut ITE, lebih 500 pelajar akan mendapat manfaat daripada inisiatif itu, yang dapat membantu mereka untuk lebih memahami peranan dan peluang kerjaya dalam industri semikonduktor.
Ratusan pelajar ITE telah mengikuti program WSDip di bawah kerjasama serupa dengan beberapa syarikat teknologi terkemuka yang berpangkalan di Singapura seperti Micron, STMicroelectronics, Intel, Nvidia, dan Microsoft, lapor The Straits Times (ST).
Di bawah perjanjian itu, ITE akan turut membantu Siltronic dan Vanguard merangka pelan latihan dan kursus pensijilan bagi kakitangan mereka, termasuk pekerja pertengahan kerjaya, di samping melahirkan bakat muda yang terlatih.
Untuk berkongsi amalan terbaik serta pengetahuan, ITE telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat rakan kongsi dalam projek industri, menganjurkan seminar, persidangan dan bengkel industri untuk pelajar, kakitangan serta karyawan industri.
Ketua Eksekutif ITE, Cik Low Khah Gek, berkata: “Di waktu Singapura berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab semikonduktor global, permintaan untuk bakat terlatih akan terus meningkat dengan kukuh.”
Sementara itu, kerjasama dengan pemain industri terkemuka akan memberi pelajar ITE pendedahan berharga kepada dunia pekerjaan sebenar, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengalaman industri yang diperlukan, serta menyuntik semangat mereka untuk menceburi kerjaya dalam industri itu, tambah Cik Low.
Berucap di majlis menandatangani perjanjian tersebut, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata industri semikonduktor merangkumi 8 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dan menggajikan 10 peratus daripada tenaga kerja sektor perkilangan di sini.
Singapura merupakan titik penting dalam rantai bekalan cip global kerana negara ini merupakan salah satu pembekal utama cip dan alat semikonduktor dunia.
“Ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada puluhan tahun pembangunan dan pelaburan dalam membangunkan ekosistem semikonduktor yang pesat di negara kita,” kata Encik Tan.
Menurut beliau lagi, matlamatnya adalah untuk terus memajukan industri semikonduktor di sini dan mengukuhkan kedudukan Singapura dalam rantai bekalan pengeluaran dan inovasi global.
Untuk mencapai matlamat itu, “kita memerlukan tenaga kerja berkualiti tinggi – dengan kepakaran teknikal yang kukuh dan semangat yang tidak mudah berputus asa”, kata Encik Tan.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan semasa Hari Industri Elektronik, yang dianjurkan setiap tahun oleh ITE dan Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg