Syarikat khidmat pengangkutan kereta sewa Grab telah memperoleh platform tempahan restoran tempatan Chope dan akan mengambil alih operasi Chope di Singapura, Indonesia dan Thailand.
Dalam satu e-mel dalaman yang dilihat The Business Times pada 22 Julai, ketua penghantaran Grab, Encik Ngiam Xin Wei, memaklumkan para pekerjanya bahawa syarikat itu telah mencapai perjanjian untuk memperoleh Chope, dengan pekerjanya bersedia menyertai pejabat Grab di Singapura, Indonesia dan Thailand “dalam beberapa minggu”.
“Chope ialah jenama terkenal dan digemari yang beroperasi di Singapura, Indonesia dan Thailand,” kata Encik Ngiam dalam e-mel itu.
“Mereka mempunyai tempahan matang dan sistem pengurusan meja, yang kami percaya akan memperkukuh strategi perniagaan kami dan membantu mempercepatkan usaha kami merebut peluang pasaran makan di luar.”
Menurut beliau, syarikat itu melihat “banyak potensi” untuk melanjutkan perkhidmatan Chope ke pangkalan rakan kongsi Grab di seluruh rantau ini.
Pemerolehan itu juga akan mengukuhkan Grab sebagai “aplikasi super harian pilihan” pengguna.
Meskipun Chope mempunyai operasi di Hong Kong dan China, Grab akan mengekalkan operasinya hanya di Singapura, Indonesia dan Thailand.
Ditubuhkan pada 2011 oleh usahawan, Encik Arrif Ziaudeen, Chope membolehkan pengunjung membuat tempahan dalam talian untuk restoran di seluruh Singapura, Jakarta, Bali, Bangkok, Phuket, Hong Kong dan Shanghai.
Menurut laman webnya, ia mempunyai lebih 13,000 restoran dalam rangkaiannya dan telah menempatkan lebih 35 juta pengunjung setakat ini.
Menurut laporan oleh Tech In Asia, Chope memperoleh pendapatan kira-kira AS$22.7 juta ($30.5 juta) pada 2022, meningkat 31 peratus daripada tahun sebelumnya.
Angka itu diperoleh daripada VentureCap Insights, yang menjejaki pemfailan peraturan di Singapura.
Pada Disember 2022, Chope memberhentikan 24 peratus pekerjanya di seluruh rantau ini termasuk 38 pekerja dari Singapura.
Berikutan pemerolehan itu, pasukan Grab dan Chope akan bekerjasama “untuk membina cadangan nilai dalam talian ke luar talian yang lebih kukuh dan holistik untuk peniaga dan pengguna di Asia Tenggara”, kata Encik Ngiam.
Grab berhasrat memulakan jualan silang perkhidmatan Chope kepada rakan kongsi pedagangnya tidak lama lagi.
Jenama, aplikasi dan tapak web Chope akan kekal seperti sedia ada untuk mengelakkan gangguan kepada perkhidmatan Chope.
Peralihan penuh dan penyepaduan pasukan Chope akan mengambil sedikit masa, kata Encik Ngiam. Buat masa ini, pasukan Chope akan kekal sebagai unit di bawah perniagaan Grab.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg