GrabInsure, cabang insurans kumpulan Grab, sedang bersiap sedia untuk memasuki pasaran insurans kenderaan di Singapura.
Beberapa penganalisis perusahaan berkata langkah itu mungkin memberi tamparan kepada penguasaan syarikat sedia ada seperti Income Insurance.
Grab telah menyertai Persatuan Insurans Umum (GIA) pada Mei, selepas memperoleh lesen insurans umum daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Disember 2024, lapor The Straits Times.
Perkembangan itu menunjukkan mereka sedang bersedia melancarkan produk insurans kenderaan dan telah mula mengambil kakitangan untuk pasukan tersebut.
Satu iklan kerja menunjukkan Grab sedang mencari ketua dalam bahagian tuntutan motor untuk mengurus strategi, keuntungan dan proses tuntutan.
Jawatan itu, yang berpusat di kampus Grab di one-north, juga melibatkan pembangunan sistem tuntutan motor bersama pasukan Teknologi Produk Operasi.
GrabInsure juga mencari calon dengan sekurang-kurangnya 7 hingga 10 tahun pengalaman dalam tuntutan motor atau peranan berkaitan, serta pengetahuan mendalam tentang proses tuntutan dan pemulihan motor di Singapura.
Secara berasingan, syarikat itu juga dilaporkan bekerjasama dengan syarikat pencari bakat untuk merekrut aktuari dan penyedia insurans bagi cabang insurans motornya, dengan temu duga sudah dijalankan, menurut satu sumber perusahaan itu.
Apabila dihubungi, seorang jurucakap Grab mengesahkan syarikat itu “sedang dalam peringkat awal untuk meneroka produk insurans motor, bersama dengan cadangan lain”.
Beliau berkata produk-produk itu direka untuk memenuhi keperluan rakan-pemandu mereka dan menambah bahawa Grab “akan berkongsi kemas kini lanjut apabila tiba masanya”.
Grab memulakan langkah pertama dalam perniagaan insurans pengguna melalui kerjasama dengan syarikat Chubb, menawarkan insurans perjalanan kepada pelanggan Singapura pada 2020.
Sejak itu, ia telah memperluas produk yang turut merangkumi perlindungan kemalangan peribadi, yang disediakan oleh Chubb.
Pakar perusahaan berkata kemasukan Grab ke dalam segmen insurans motor adalah satu taruhan strategik berdasarkan data, kelebihan kos dan pangkalan pemandu sewa privetnya.
Angka daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan terdapat 90,383 kereta sewa privet pada akhir 2024.
Menurut kedudukan GIA, Income Insurance menduduki tempat pertama dengan premium bertulis kasar berjumlah $92.3 juta (25 peratus bahagian pasaran) pada tiga bulan pertama 2025.
MS First Capital di tempat kedua dengan premium $36.8 juta (10 peratus), diikuti AIG dengan $34.3 juta (9.3 peratus)
Premium bertulis kasar adalah jumlah premium yang ditulis oleh penyedia insurans sebelum ditolak untuk insurans semula (reinsurance), komisen dan kos pentadbiran.
Seorang pakar perusahaan yang enggan dinamakan berkata Grab boleh memanfaatkan data pengguna terperinci, model penetapan harga canggih dan capaian aplikasinya yang luas untuk menawarkan harga lebih rendah daripada pesaing.
“Keupayaan mencapai ratusan ribu pengguna melalui aplikasi Grab memberi syarikat itu kelebihan besar berbanding saluran pemasaran dan pengedaran sedia ada seperti Income,” katanya.
Beliau menambah, Grab tidak perlu mengeluarkan kos untuk komisen atau pemasaran, memberikannya kelebihan kos yang besar.
Mantan Ketua Amalan Insurans di Boston Consulting Group, Encik Alap Mehra, berkata Grab akan mendapat kelebihan besar dalam pengawalan harga dan pembangunan produk sebagai penanggung insurans.
“Misalnya, Grab boleh menawarkan insurans berasaskan penggunaan untuk pemandu sambilan,” katanya.
Encik Mehra turut menekankan premium insurans motor kasar di Singapura meningkat 11 peratus pada 2024, walaupun jumlah kenderaan hanya meningkat 1 peratus.
Kenaikan itu disebabkan oleh inflasi, pertumbuhan kenderaan elektrik yang memerlukan insurans lebih mahal, dan peningkatan 10 peratus dalam jumlah kereta sewa privet.
Walaupun bahagian pasaran bagi insurans motor sudah hampir penuh, Grab masih mempunyai peluang kerana ia mempunyai kelebihan data, kumpulan kereta yang terkawal dan kemampuan menawarkan insurans yang lebih sesuai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg