Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grab bakal lancar Akaun Remaja, guna AI kesan bahaya

Bantu anak muda 13 hingga 17 tahun gerak secara berdikari; ibu bapa tenang pantau perjalanan anak
Apr 8, 2025 | 7:03 PM
Grab untuk Keluarga/Remaja bertujuan membantu remaja berusia antara 13 dengan 17 tahun bergerak bebas sambil memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa mereka.
Grab untuk Keluarga/Remaja bertujuan membantu remaja berusia antara 13 dengan 17 tahun bergerak bebas sambil memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa mereka. - Foto ST

Ibu bapa akan dapat mengurus akaun Grab yang direka khas buat anak remaja mereka, dengan ciri keselamatan untuk memantau perjalanan dan menjejak lokasi anak mereka semasa dalam perjalanan.

Menjelang akhir 2025, Grab merancang untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan pertengkaran, bunyi tayar berciut dan tanda-tanda bahaya semasa perjalanan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada mod Grab untuk Keluarga/Remaja yang akan diperkenalkan di Asia Tenggara mulai Mei, dengan rancangan untuk dilancarkan di Singapura menjelang pertengahan 2025 setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa, lapor The Straits Times.

Perkembangan terkini lain di aplikasi Grab termasuk mod pesanan untuk pelanggan yang makan seorang diri bagi menggabungkan pesanan makanan dengan orang lain di kawasan sekitar untuk menjimatkan kos penghantaran. 

Grab mengumumkan penambahbaikan tersebut dalam acara pameran produk pertamanya, GrabX, di JW Marriott Hotel Singapura pada 8 April.

Grab Untuk Keluarga/Remaja membantu remaja berusia 13 hingga 17 tahun bergerak secara bebas sambil memberi ketenangan kepada ibu bapa.

Ibu bapa boleh meletak nama anak mereka ke dalam Akaun Keluarga untuk menjejaki perjalanan dan menerima pemberitahuan semasa anak dijemput atau dihantar.

Penumpang remaja akan diberikan pemandu dengan penilaian tinggi bagi keselamatan mereka.

Sebelum perjalanan dimulakan, remaja perlu memasukkan nombor PIN yang diberikan pemandu untuk mengelak daripada kesilapan.

Akaun remaja juga dilengkapi dengan ciri Always-on AudioProtect, yang menggunakan AI untuk mengesan bahaya dan membolehkan Grab campur tangan jika perlu.

Ciri keselamatan AI AudioProtect mendengar tanda-tanda kecemasan seperti bunyi kuat, tayar berciut, pergaduhan, atau bahasa tidak sesuai, yang akan dilaporkan bagi campur tangan manusia.

Ia turut memantau perjalanan untuk perhentian atau laluan yang mencurigakan.

Peningkatan AI pada AudioProtect, yang dipaparkan dengan logo mikrofon, dijangka dilancarkan di Singapura pada akhir 2025. 

Versi awal yang diuji pada 2023, merakam audio secara automatik yang membawa rasa tidak senang hati kepada sebahagian penumpang.

Namun ia hanya disimpan selama lima hari dan dipadamkan, kecuali jika ada kejadian berhubung keselamatan, kata jurucakap Grab pada 8 April.

Fungsi Shared Saver yang dilancarkan pada April membolehkan pengguna yang memesan makanan untuk seorang menggabungkan pesanan dengan orang lain di kawasan sekitar untuk menjimatkan caj penghantaran. 

Pengguna boleh memulakan pesanan sendiri atau menyertai pesanan yang sedang berlangsung.

Ini akan menjimatkan wang, tetapi mungkin memerlukan sedikit masa tambahan untuk penghantaran.

Pelancong atau mereka di lapangan terbang tertentu boleh menempah Grab terlebih dahulu dan aplikasi akan menyesuaikan jadual untuk menjemput pengguna berdasarkan waktu ketibaan penerbangan. 

Peniaga di Grab juga boleh menggunakan pembantu AI untuk membantu promosi dan menganalisis prestasi perniagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg