Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grab untung $25.9j pada suku kedua

Pendapatan syarikat itu lebihi jangkaan penganalisis
Jul 31, 2025 | 4:36 PM
grab, pendapatan, profit
Grab meraih pendapatan AS$819 juta ($1 bilion) bagi tempoh enam bulan hingga 30 Jun, melebihi ramalan penganalisis yang menjangkakan pendapatan AS$811.3 juta. - Foto ST

BENGALURU: Grab Holdings meraih pendapatan suku kedua yang melebihi jangkaan pasaran Wall Street, sedang pengguna meningkatkan perbelanjaan di wadah tempahan kenderaan secara dalam talian dan penghantaran makanan syarikat itu.

Keuntungan tersebut dicapai walaupun dalam keadaan ekonomi sedunia tidak menentu, lapor syarikat itu pada 30 Julai.

Grab mencatat keuntungan AS$20 juta ($25.9 juta) bagi suku kedua 2025, berbanding kerugian AS$68 juta dalam suku kedua 2024.

Usaha Grab untuk menjadikan wadah syarikat itu sebagai “aplikasi hebat” – dengan menggabungkan khidmat tempahan pengangkutan, penghantaran makanan dan barangan runcit, serta khidmat digital lain – telah berjaya menarik lebih ramai pengguna yang sanggup berbelanja bagi pelan langganannya.

Walaupun rundingan perdagangan Amerika Syarikat yang berterusan telah menimbulkan keadaan ekonomi sedunia tidak menentu – menyebabkan kebimbangan mengenai tarif dan kos niaga yang meningkat di Asia Tenggara – ekonomi Singapura masih berdaya tahan.

Ia mencatat pertumbuhan 4.3 peratus pada suku kedua 2025, dan berjaya mengelak kemelesetan teknikal.

“Apa yang kami lihat ialah dengan menjadikan produk kami lebih dimampui, ia dapat merangsang pertumbuhan, dan melindungi kami daripada beberapa kesan makro yang sedang berlaku di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Kewangan Grab, Encik Peter Oey, kepada agensi berita, Reuters.

Syarikat tersebut sedang berusaha menarik pengguna yang peka terhadap harga ke wadah tempahan pengangkutannya, sambil meningkatkan bilangan pemandu bagi memenuhi keperluan pengguna yang kian meningkat.

Menurut data penganalisis pasaran, LSEG, Grab meraih pendapatan AS$819 juta bagi tempoh enam bulan hingga 30 Jun, melebihi ramalan penganalisis yang menjangka pendapatan AS$811.3 juta.

Syarikat tersebut menarik perhatian terhadap prestasi kukuhnya di Indonesia, sebuah pasaran yang sebelum ini dianggap sebagai kurang diterokai, dan berhasrat memanfaatkan bilangan besar penduduk negara itu, di samping meningkatkan bahagian pasaran.

Encik Oey berkata Indonesia ialah pasaran menguntungkan bagi Grab, yang kini merancang meningkatkan lagi pelaburan di negara itu.

Pasaran perkhidmatan dalam talian di Asia Tenggara sedang melalui proses penyatuan, dengan pemain besar memperoleh syarikat lebih kecil untuk mengembangkan portfolio produk.

Reuters melaporkan pada Mei bahawa Grab sedang meneroka kemungkinan membeli syarikat pesaing utamanya di Indonesia, GoTo.

Namun, Encik Oey menegaskan syarikat itu tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan GoTo ketika ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg