Sebanyak 860 keluarga berpendapatan rendah telah menerima bantuan bernilai $275,000 dalam bentuk barangan dapur, baucar, dan bantuan kewangan daripada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melalui program tahunan Ramadan mereka.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 600 keluarga masing-masing menerima pek habuan bernilai $350 dalam bentuk barangan dapur dan baucar menerusi program tahunan Ramadan on Wheels (ROW), manakala 260 keluarga lain menerima bantuan kewangan sebanyak $250 melalui inisiatif Pembangunan Keluarga 4PM.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, jurucakap 4PM menyatakan bahawa jumlah 860 keluarga yang menerima bantuan tahun ini adalah yang tertinggi sejak ROW diperkenalkan pada 2001.
Berucap di pelancaran ROW pada 15 Mac di pejabat daerah 4PM di 606 Bedok Reservoir Road, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, berkata kejayaan program ini tidak akan tercapai tanpa usaha gigih sukarelawan dan semangat gotong royong dalam masyarakat.
“Ramadan mengingatkan kita tentang nilai keprihatinan dan kepentingan membantu mereka yang memerlukan.”
“Kejayaan Ramadan on Wheels tidak akan tercapai tanpa usaha gigih anda semua. Terima kasih kerana memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini dan membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” kata Cik Indranee yang melancarkan acara itu dan turut berinteraksi dengan benefisiari dan relawan.
4PM turut menerima sokongan Grab Singapore, yang menghimpunkan 100 rakan pemandu untuk mengedarkan pek habuan kepada keluarga memerlukan serta menyumbang lebih $11,000 dalam bentuk barangan makanan dan baucar Grab kepada benefisiari 4PM.
Ketua Bahagian Penghantaran, Grab Singapore, Encik Tay Chuen Jein berkata: “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan 4PM untuk menyokong masyarakat sempena Ramadan ini.
“Dengan 100 rakan pemandu kami menyertai usaha ini, ia menjadi satu inisiatif bermakna yang mencerminkan semangat gotong royong Grab.”
Pengerusi ROW, Cik Nurul Eryanie Mohd Nazri, mengulas bahawa ROW lebih daripada pengagihan sahaja.
“Inisiatif ini bukan sekadar mengagih bantuan, tetapi tentang saling mengangkat satu sama lain dan mengingatkan setiap individu dalam masyarakat bahawa mereka tidak bersendirian,” kata Cik Eryanie.
Antara beneifisiari yang telah meraih manfaat acara ROW ialah pasangan suami isteri, Cik Nurhidaya Nordin dan Encik Muhd Fauzi Niza yang tinggal di flat sewa di kawasan Bukit Merah. Ini merupakan tahun ketiga mereka menyertai ROW.
“Tahun ini lebih baik dan kami menerima banyak lagi makanan keperluan. Selain pek habuan yang diagihkan, kami juga boleh memilih barangan lain seperti sayur-sayuran, makanan kering dan macam-macam lagi yang disediakan,” ujar ibu tiga anak berusia antara 11 dan 16 tahun itu.
Acara ROW tahun ini dijayakan oleh 396 relawan.
Antara mereka ialah Encik Muhammad Mizzuan Maslan, pemilik kedai ikan Chiongster.co di pasar Pelabuhan Perikanan Jurong.
Ini merupakan tahun pertama beliau tampil sebagai relawan dan beliau telah menyumbang 100 kilogram ikan untuk diagihkan.
“Saya ingin memberi sumbangan kembali kepada masyarakat... dan tiada masa yang lebih bermakna daripada Ramadan. Semoga sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” kata Encik Mizzuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg